Kes harian Brunei naik kepada 751

BERAKAS 20 Jun – Brunei Darussalam hari ini terus mencatatkan peningkatan kes harian Covid-19 apabila merekodkan 751 kes baharu dengan jumlah kes aktif sebanyak 4,129 kes.

Menteri Kesihatan,  Dr.  Mohammad Isham Jaafar berkata, semua 751 kes adalah hasil Ujian ART dan sifar kes hasil daripada 182 ujian makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam masa 24 jam lalu

Beliau mengakui sejak seminggu kebelakangan ini, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan menunjukkan sedikit peningkatan, di mana jumlahnya melebihi 500 kes setiap hari, dengan lebih 99 peratus daripadanya dikesan melalui Ujian ART.

 Walau bagaimanapun, jumlah kes di dalam Kategori 4 dan Kategori 5 terus berada di tahap yang rendah.

 “Pada hari ini, satu kes berada di dalam Kategori 5, iaitu memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU), manakala satu kes berada di dalam Kategori 4, iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi,” katanya.

 Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Brunei Darussalam, Dr Isham berkata, lebih 99 peratus daripada kes-kes yang dikesan juga dikategorikan di dalam Kategori 1 atau 2 serta tidak memerlukan rawatan di hospital.

 Beliau juga memberitahu, dalam masa seminggu kebelakangan ini juga, liputan vaksinasi Covid-19 terus meningkat, iaitu sebanyak 72.3 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini mendapatkan dos ketiga vaksin, manakala 5.2 peratus juga mendapatkan dos keempat.

 Sebanyak 71.4 peratus daripada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun mendapatkan dos kedua vaksin, walau bagaimanapun hanya 48.5 peratus remaja berumur 12 hingga 17 tahun mendapatkan dos ketiga vaksin.

”Dalam masa 24 jam yang lalu, dua kes Covid-19 telah meninggal dunia, di mana kedua-dua kes tersebut tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan oleh Covid-19,” katanya.

 

Related posts

Leave a Comment