BAITULMUQADDIS – Pihak berkuasa Israel mengehadkan hanya 10,000 jemaah Palestin dari Tebing Barat yang didudukinya untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa semasa Ramadan.
Di samping itu ia juga mengenakan sekatan umur dengan hanya membenarkan lelaki berumur lebih 55 tahun, wanita berumur lebih 50 tahun, dan kanak-kanak berumur sehingga 12 tahun untuk masuk ke masjid itu.
Menurut COGAT, badan Kementerian Pertahanan Israel yang bertanggungjawab untuk hal ehwal awam di wilayah Palestin, 10,000 jemaah Palestin akan dibenarkan untuk solat Jumaat dengan syarat mereka mendapatkan permit harian khas.
COGAT memberitahu sekatan hanya terpakai kepada rakyat Palestin yang datang daripada Tebing Barat, yang telah diduduki Israel sejak perang Arab-Israel 1967.
Di samping itu, penduduk yang datang untuk solat akan dikehendaki menjalani dokumentasi digital di sempadan apabila kembali ke wilayah Judea dan Samaria selepas selesai solat.
Semasa Ramadan, ratusan ribu rakyat Palestin mengerjakan solat di Masjid Al-Aqsa, tempat ketiga paling suci dalam Islam, yang terletak di timur Baitulmuqaddis, yang ditawan oleh Israel pada1967 dan kemudian mengambil wilayah tersebut secara paksa – langkah yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sejak perang meletus di Gaza pada Oktober 2023, bilangan jemaah telah berkurangan disebabkan oleh kebimbangan keselamatan dan sekatan Israel.
Al-Aqsa terletak di tengah-tengah Kota Lama Baitulmuqaddis yang dikenali orang Yahudi sebagai Har ha-Bayit, atau Temple Mount, dan bagi umat Islam di peringkat antarabangsa sebagai al-Haram al-Sharif.
