KUALA LUMPUR 18 Feb. – Kuota haji yang diperuntukkan bagi musim 1447H/2026M telah diisi sepenuhnya dengan kira-kira 85,000 permohonan rayuan diterima.
Susulan itu, Lembaga Tabung Haji (TH) akan menutup permohonan rayuan musim ini mulai 1 Ramadan 1447H.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, kuota haji rasmi dapat dipenuhi lebih awal melalui inisiatif penambahbaikan terutamanya peringatan supaya bakal jemaah membuat persediaan.
Katanya, perkembangan ini menunjukkan kadar penangguhan yang jauh lebih rendah iaitu 18 peratus bagi musim 1447H berbanding 50 peratus tahun sebelumnya.
“Berdasarkan jumlah rayuan yang tinggi, maka permohonan rayuan musim ini akan ditutup mulai 1 Ramadan 1447H. Permohonan rayuan yang sudah diterima sebelum tarikh ini, kekal dalam pertimbangan TH.
Sekiranya berlaku kekosongan saat akhir akibat penangguhan atau pembatalan, pengisian akan dibuat daripada senarai rayuan sedia ada berdasarkan merit dan kriteria ditetapkan.
“TH ingin mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan kerjasama diberikan oleh semua bakal jemaah. Semoga semua usaha bakal jemaah ini mendapat ganjaran sebaiknya di sisi Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Malaysia mendapat kuota tahunan sebanyak 31,600 termasuk pada tahun ini.
Mustakim Mohamad berkata penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke tanah suci dijadualkan bermula pada 18 April ini, manakala terakhir 20 Mei dengan hari wukuf dijangka 26 Mei.
Nnnnn
