KUALA LUMPUR 17 Feb. – Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad malam ini mengumumkan umat Islam di Malaysia mula berpuasa pada Khamis, 19 Februari ini.
Syed Danial berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Sebelum ini pada 12 Februari lalu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi satu kenyataan menetapkan hari ini bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa buat umat Islam di Malaysia.
Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh awal Ramadan adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
Nnnn
