PORT DICKSON 14 Julai – Anwar Ibrahim memohon DAP Melaka menangguhkan keputusan parti itu untuk keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri bagi memberikan tumpuan pada pembangunan dan kebajikan rakyat.
Perdana Menteri berkata perkara itu telah dibincangkan bersama-sama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan berharap rundingan dapat diteruskan bagi mencapai penyelesaian yang terbaik.
“Perkara itu sudah saya cakap dan tanya dengan Menteri (Pengangkutan Anthony) Loke, dengan DAP (Melaka) dan juga Ketua Menteri supaya mereka runding dahulu … tangguh sekejap, supaya kita boleh buat kerja dengan kerajaan negeri sehingga pilihan raya,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelabuhan Midport – Pelabuhan Kontena Pintar berkuasa Kecerdasan Buatan (AI) di Port Dickson, di sini hari ini.
Anwar berkata perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen kerajaan ialah perkara biasa, namun perkara itu tidak seharusnya menjejaskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Walaupun ada dua, tiga perkara yang tidak dipersetujui, tidak mengapa. Sekarang ini, banyak perkara yang kita tidak setuju bersama, tetapi dari segi dasar untuk pertumbuhan ekonomi dan rakyat, kita teruskan.
Jadi, saya harap mereka pertimbangkan (untuk menangguhkan dahulu),” kata beliau.
Perdana Menteri berkata langkah itu penting bagi memastikan kerajaan negeri dapat meneruskan tugas dan tanggungjawabnya dengan tenang sehingga selesai pilihan raya.
DAP Melaka hari ini mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri serta-merta selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara lantikan.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, berkata keputusan itu selaras dengan pendirian parti yang menolak rang undang-undang berkenaan kerana didakwa bercanggah dengan prinsip demokrasi dan pilihan raya.
Katanya, semua wakil rakyat DAP yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri akan melepaskan jawatan masing-masing termasuk seorang Exco, dua Timbalan Exco serta Timbalan Speaker DUN.
“Kita telah menolak usul tersebut dan sebagai parti yang bertanggungjawab, kita tidak boleh pada masa yang sama menolak usul kerajaan tetapi masih berada dalam kerajaan serta menggunakan segala kemudahan kerajaan,” katanya pada sidang media.
Empat ADUN terlibat adalah Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin (Kesidang) dan Timbalan Speaker DUN Kerk Chee Yee (Ayer Keroh).
Selain itu dua timbalan exco iaitu Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Banda Hilir).
Nnnn
