SINGAPURA – Parti Tindakan Rakyat (PAP) memulakan hari penamaan calon Pilihan Raya Umum (PRU) semalam dengan memenangi lima kerusi tanpa bertanding, di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) baharu Marine Parade-Braddell Heights
Susulan itu, PRU pada 3 Mei ini menyaksikan 92 daripada 97 kerusi Parlimen akan dipertandingkan, di mana parti pemerintah PAP menurunkan calon di baki 32 kawasan, merangkumi 17 GRC dan 15 Kawasan Undi Perseorangan (SMC).
Perdana Menteri Lawrence Wong dan pasukannya akan berdepan pertandingan satu lawan satu menentang Parti Demokratik Singapura (SDP) dalam usaha mempertahankan kubu empat kerusi PAP di GRC Marsiling-Yew Tee.
Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng menggantikan Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong sebagai Ketua Calon PAP di GRC Chua Chu Kang manakala
Gan mengetuai kempen di GRC Punggol yang baru diwujudkan, yang menyaksikan pertembungan secara langsung dengan muka baharu daripada Parti Pekerja (WP).
Menteri Kanan Lee Hsien Loong kekal mengetuai pasukan PAP di GRC Ang Mo Kio, yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru buat kali pertama sejak ia dibentuk pada 1991.
Bekas perdana menteri itu, yang merupakan Ahli Parlimen GRC itu sejak penubuhannya, akan disertai penyandang Darryl David dan Nadia Ahmad Samdin, serta Victor Lye dan calon baharu Jasmin Lau.
Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam mengetuai PAP di GRC Nee Soon bersama empat muka baharu, termasuk bekas Ahli Parlimen Dilantik Dr Syed Harun Alhabsyi.
Mereka akan berdepan pasukan Red Dot United (RDU) yang turut menurunkan Setiausaha Agungnya Ravi Philemon dan Pengerusi David Foo.
Sementara itu, beberapa menteri kabinet mengumumkan persaraan termasuk Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, Menteri Kanan Teo Chee Hean dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Maliki Osman.
Sementara itu parti pembangkang utama, WP, yang memenangi 10 kerusi dalam pilihan raya 2020, akan bertanding di lapan kawasan iaitu lima GRC — Aljunied, East Coast, Punggol, Sengkang dan Tampines — serta tiga SMC — Hougang, Jalan Kayu dan Tampines Changkat.
Setiausaha Agung WP Pritam Singh, sekali lagi mengetuai pasukan parti itu mempertahankan GRC Aljunied, bersama Pengerusi WP Sylvia Lim, Gerald Giam, Fadli Fawzi dan muka baharu Kenneth Tong.
Beberapa lagi parti pembangkang — termasuk RDU, Parti Kemajuan Singapura (PSP), People’s Alliance for Reform (PAR), SDP, Parti Kuasa Rakyat (PPP), Parti Solidariti Nasional (NSP), Parti Rakyat Singapura (SPP), Parti Bersatu Singapura (SUP) dan Perikatan Demokratik Singapura (SDA) — turut menurunkan calon dalam jumlah yang kecil.
Dua calon Bebas juga bertanding, masing-masing di SMC Mountbatten dan Radin Mas.
(Foto atas dari kiri Lawrence Wong, Lee Hsien Loong dan K.Shanmugam Bawah kiri Heng Swee Keat, Teo Chee Hean dan Dr Maliki Osman)
Nnn