SEPANG 16 Feb. – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan yang dipecat daripada Bersatu mendakwa bahawa parti sudah tidak ada masa depan di bawah kepemimpinan Muhyiddin Yassin.
Dalam kenyataannya, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata, Bersatu sudah lari jauh dari agenda rakyat, kepada hanya memperjuang agenda dan cita-cita peribadi.
“Bersatu sudah tidak ada masa depan kerana Tan Sri Muhyiddin merelakan diri untuk dipengaruhi dan dikuasai (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali (Setiausaha Agung Bersatu). Ini menyebabkan Bersatu lari jauh dari agenda rakyat,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam surat bertarikh 15 Februari kepada Pengerusi Lembaga Rayuan Bersatu untuk menarik balik rayuan pemecatannya.
Surat itu yang dimuatnaik di Facebooknya menyatakan , antara tuduhan kesalahan yang dihadapi sehingga dipecat daripada parti itu pada Oktober 2025 adalah mengusahakan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif, dan lanjutannya ialah Majlis Presiden dalam Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun dakwa beliau, perkara sama dilakukan Muhyiddin ketika ini, yang disifatkannya sebagai hipokrasi Ahli Parlimen Pagoh itu dan pengikutnya.
“Inilah perkara yang dia tulis dalam suratnya kepada Presiden-Presiden parti dalam PN,” katanya.
Wan Saiful dipecat daripada Bersatu pada 14 Oktober 2025 berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran Presiden parti itu sebelum ini.
Dalam surat untuk menarik balik rayuan itu Wan Saiful berkata, jika rayuan beliau dipertimbang sepenuhnya berdasarkan merit, keputusan yang paling munasabah untuk diambil Lembaga Disiplin adalah membatalkan pemecatannya dan mengembalikan hak serta jawatannya.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua ahli Lembaga Rayuan yang pada pandangan saya bersikap profesional dan telus, yang mana ia adalah jauh berbeza dengan sikap ahli Lembaga Disiplin,” dakwa beliau.
Nnn
