1,100 asnaf Melor terima zakat Andalusia

KOTA BHARU 17 Feb. – Menjelang Ramadan beberapa hari lagi, seramai 1,100 golongan asnaf di daerah Melor dekat sini menerima sumbangan zakat daripada Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd. (Andalusia) dan Masjid Imanul Fa’izin.

Berbanding tahun sebelumnya, tahun ini mereka menerima barangan keperluan asas bernilai kira-kira RM150 termasuk beras, minyak masak dan susu Yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM200,000.

Menurut Timbalan Pengerusi Masjid Imanul Fa’izin, Dr. Abdul Fatah Yaso, ini kali ketiga sumbangan zakat itu disampaikan kepada asnaf yang kali ini melibatkan 11 mukim sekitar daerah Melor di mana pemilihan dibuat oleh masjid-masjid berkenaan.

Katanya, ini tahun ketiga pemberian zakat oleh Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin dan keluarga yang dikendalikan Masjid Imanul Fa’izin yang diharap dapat membantu mengurangkan beban golongan asnaf terbabit menjelang bulan puasa.

Beliau berkata, pihaknya bersama Andalusia sentiasa prihatin terhadap keperluan masyarakat setempat terutama dalam mengurangkan beban golongan asnaf terbabit.

Untuk rekod, akhir bulan lalu seramai 800 pelajar dan pesakit kronik golongan asnaf di daerah Pekan menerima sumbangan zakat bernilai RM300,000 hasil inisiatif tanggungjawab sosial Andalusia, syarikat pengendali haji dan umrah itu.

Dalam pada itu, Dr Abdul Fatah berkata, sepanjang bulan Ramadan, Masjid Imanul Fa’izin akan menganjurkan majlis berbuka puasa pada setiap hari kepada para jemaah dan penduduk setempat.

Pada kebiasaannya, pihak masjid akan menyediakan sebanyak 600 sehingga 1,000 orang setiap hari.

“Sambutan majlis berbuka ini sangat meriah, ruang masjid penuh dengan jemaah berbuka malah mengimbau kenangan seolah-seolah seperti berada di Madinah, Arab Saudi,” katanya.

Di samping itu, pelbagai program lain turut dirangka sepanjang bulan Ramadan untuk mengimarahkan masjid.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment