SEPANG 15 Feb . – “Saya tak perlu bercuti”, demikian tegas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki susulan siasatan berkait isu pemilikan saham yang sedang dijalankan terhadapnya.
Katanya, sebelum ini ada juga individu yang disiasat di mahkamah, namun masih bertugas.
Azam ditanya mengenai desakan beberapa Ahli Parlimen supaya beliau mengambil cuti pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kampung Angkat Madani di Kampung Sungai Buah, Dengkil, dekat sini hari ini,
“Itu terpulang kepada mereka. Saya tidak perlu bercuti,” katanya sambil mengulangi kesediaannya untuk disiasat oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan serta bersedia bila-bila masa dan jika dipanggil, akan menyerahkan dokumen-dokumen yang berkaitan.
Semalam, Peguam Negara, Mohd Dusuki Moktar yang mengetuai Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham oleh Azam, memaklumkan siasatan terhadap dakwaan itu sudah dimulakan.
“Siasatan telah pun bermula. Sebagai langkah permulaan, kami sedang mengumpul maklumat berkaitan kes berkenaan,” katanya.
Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Jawatankuasa itu akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi memberikan pengadilan sewajarnya kepada pihak yang disiasat.
Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri dan Pihak Berkuasa Tatatertib untuk pertimbangan lanjut berdasarkan tatacara sewajarnya.
Terdahulu, media asing Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu pada sidang media baru-baru ini, menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Malah, Azam dilaporkan berkata, tidak ada perkara yang disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham berkenaan yang dibeli tahun lalu sudah dilupuskan dalam tahun sama.
