Solat Subuh dua sesi

JOHOR BAHRU 20 Jan. – Buat pertama kali, Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn, di sini mengadakan solat Subuh dua sesi berikutan kehadiran lebih 12,000 jemaah susulan  program Semarak Subuh Johor.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyifatkan kehadiran ramai jemaah bersolat Subuh di masjid negeri ini itu satu perkembangan yang amat baik

“Sejak Masjid Sultan Iskandar didirikan, hari ini adalah hari pertama solat Subuh berjemaah terpaksa didirikan dua kali kerana terlalu ramai yang hadir.

Syukur Alhamdulillah, lebih 12,000 jemaah hadir mengimarahkan Program Semarak Subuh Johor dan kempen Solat Subuh Macam Jumaat bertempat di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn, di sini,” katanya dalam kenyataan di Facebook

Pada 23 November lalu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beragama Islam negeri ini diminta menunaikan solat Subuh berjemaah bersama rakyat pada setiap Jumaat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Sehubungan itu, Onn Hafiz, dilaporkan berkata Kerajaan Johor memperuntukkan RM560,000 bagi melaksanakan inisiatif Semarak Subuh di 56 kawasan DUN sepanjang tahun ini.

Selain bersolat Subuh secara berjemaah, ADUN juga dapat bertadabbur al-Quran dan seterusnya menyantuni jemaah di masjid atau surau pada setiap pagi Jumaat dalam kawasan DUN masing-masing.

Dianggarkan sebanyak 2,688 program Semarak Subuh dilaksanakan di negeri mulai tahun ini.

Foto Masjid Sultan Iskandar Dato’ Onn

Related posts

Leave a Comment