KUALA LUMPUR 12 Feb. – Isu kera yang semakin banyak berkeliaran di kawasan Parlimen yang dibangkitkan Yang Dipertua, Johari Abdul menarik perhatian anggota Dewan Rakyat.
Johari meminta Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, menyelesaikan segera isu kera itu termasuk mempercepat usaha pemandulan sebagai salah satu kaedah bagi mengawal populasi haiwan itu.
Permintaan Johari itu sedikit mencuri perhatian apabila menyatakan masalah kera yang dimaksudkan beliau untuk diselesaikan adalah yang berkeliaran di luar Dewan Rakyat dan bukannya yang berada di dalam dewan itu.
“Kita mandulkan kera-kera ini, sama ada secara vaksin, makanan atau suntikan supaya lebih bersifat kemanusiaan.
Jika kita tangkap (kera) di kawasan A, ia (kemudian) lepas ke kawasan B. Selesai masalah kawasan A, masalah kawasan B tak selesai.
“Jadi, saya harap di kawasan Parlimen, tolong selesaikan masalah kera ini… (maksud saya) yang di luar (Dewan), yang dalam (Dewan) tidak mengapa,” katanya yang mengundang tawa dalam kalangan Ahli Parlimen.
Johari membuat celahan itu ketika Syed Ibrahim menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai strategi tuntas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam menangani serangan kera dan monyet yang semakin di luar kawalan.
Syed Ibrahim berkata, dari segi jangka pendek, banyak program dilaksanakan antaranya penakaian kera di kawasan berisiko konflik manusia dan hidupan liar, selain menjalankan program bersepadu dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penduduk kampung, khidmat nasihat kepada pihak berkepentingan bagi mengelak gangguan serta menjalankan program perangkap komuniti.
“Dari segi memberi kelonggaran, pengurusan pelupusan hidupan liar, termasuk kera adalah tertakluk di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, yang mana tidak seorang pun boleh memburu, menyimpan atau melupuskan hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen.
“Justeru, pelupusan hidupan liar, termasuk spesis kera masih tertakluk di bawah bidang kuasa PERHILITAN Semenanjung,” katanya.
Nnnn
