66 cuba rentas negeri dikompaun

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Seramai 66 individu yang cuba merentas negeri dan daerah dikenakan kompaun dalam operasi polis pada Sabtu, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, secara keseluruhan seramai 580 daripada 608 individu yang ditahan dikenakan kompaun atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Dalam satu kenyataan, beliau berkata kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (200), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (147), rentas negeri/ daerah tanpa kebenaran (66).

Turut dikompaun kerana gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (46), premis beroperasi lebih masa (42), aktiviti pusat hiburan (11) dan lain-lain (96).

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, walaupun penguatkuasaan dan kawalan ketat dilakukan di sempadan negara, masih ada sindiket penyeludupan manusia sanggup mengambil risiko menceroboh masuk.

Terbaharu, seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong berjaya ditahan dalam Operasi Benteng dijalankan di sempadan negara pada Sabtu.

Turut dirampas sebanyak tujuh buah kenderaan darat yang dipercayai digunakan untuk menyeludup masuk PATI.

“Operasi Benteng telah berjaya menahan 17 PATI dan dua tekong serta merampas tujuh kenderaan darat. (Selain itu) sebanyak 415 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan semalam,” katanya.

Related posts

Leave a Comment