Dr Mahathir bermalam di rumah, siang di IJN

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Selepas genap sebulan dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) disebabkan patah tulang pinggul kanan, Dr Mahathir Mohamad dibenarkan pulang dan bermalam di kediamannya di The Mines.

Bagaimanapun pada waktu siang, Dr Mahathir akan kembali ke IJN untuk meneruskan rawatan dan pemerhatian pihak perubatan.

Setiausaha Akhbar Dr Mahathir, Sufi Yusoff, berkata, setakat ini pasukan perubatan di IJN berpuas hati dengan tahap kemajuan pemulihan kesihatan serta tindak balas bekas Perdana Menteri itu terhadap langkah-langkah perubatan dan fisioterapi.

“Walaupun dibenar pulang ke rumah secara berperingkat, Dr Mahathir tetap berada dalam pemantauan pasukan perubatan IJN,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sufi berkata, buat masa ini, pakar perubatan menasihatkan Dr Mahathir tidak menerima pelawat selain keluarga terdekat.

“Dr Mahathir, isteri serta keluarga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa bertanyakan mengenai keadaan kesihatan beliau dan yang mendoakan kesihatan serta kesejahteraannya,” katanya.

Pada 6 Januari lalu media melaporkan bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke IJN dan disahkan mengalami patah tulang di bahagian pinggul kanan selepas terjatuh di kediamannya.

Dr Mahathir dibawa ke hospital dalam keadaan sedar sebelum menjalani pemeriksaan lanjut.

Pada 27 Januari lalu, Dr Mahathir dilihat menikmati segelas air coklat ais di sebuah kafe di pusat membeli-belah, Pavillion di Bukit Damansara, kali pertama muncul di khalayak selepas menjalani rawatan selama 22 hari di IJN.

Beliau yang berkemeja berkolar lengan pendek dan kain pelekat duduk di kerusi roda ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif IJN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib serta pegawai-pegawai perubatan IJN.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment