Dibenarkan guna Alhamdulillah dengan niat baik

SEPANG 6 Feb . – Penggunaan lafaz seperti “Alhamdulillah” dan “Insya-Allah” oleh bukan Muslim adalah dibenarkan selagi digunakan dengan niat baik, beradab serta menghormati makna asal lafaz tersebut.

Walaupun ungkapan berkenaan pada hakikatnya merupakan lafaz keimanan yang merujuk kepada pengakuan dan pujian kepada Allah, namun dari sudut bahasa dan adat, ia tidak terhad kepada orang Islam sahaja.

MenuKetua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Madya Dr Mohamed Azam Mohamed, dalam konteks masyarakat majmuk, hukum penggunaan lafaz berkenaan oleh bukan Muslim bergantung kepada niat dan konteks.

Ini selaras dengan kaedah fiqh yang menetapkan bahawa ukuran sesuatu lafaz adalah berdasarkan niat dan maknanya, bukan semata-mata lafaz.

Ia dibenarkan sekiranya digunakan dengan niat baik, beradab dan menghormati makna asalnya, namun tidak dibenarkan jika digunakan untuk memperolok atau menyalahgunakan makna kerana boleh merendahkan kesucian agama,”

IKIM dalam kenyataannya merujuk pandangan Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Da‘wah, Ghayr al-Muslimin fi al-Mujtama‘ al-Islami yang menyatakan bahawa lafaz pujian kepada Allah oleh bukan Islam tidak diharamkan selagi tidak membawa maksud pengakuan akidah Islam atau menghina agama.

Menurut Mohamed Azam, para ulama Islam secara ijmak bersetuju bahawa penilaian hukum dalam perkara ini perlu mengambil kira niat, maksud dan konteks masyarakat setempat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam agar mengamalkan sikap husnuzon atau bersangka baik serta berhikmah dalam menangani isu berkenaan, selain mencontohi pendekatan Nabi Muhammad SAW yang memahami dan mendoakan hidayah bagi bukan Muslim selagi ungkapan yang digunakan tidak menghina atau menyalahi akidah.

Pada masa sama, masyarakat bukan Islam juga disaran memahami makna sebenar lafaz-lafaz ketuhanan bagi memastikan penggunaannya tidak disalah tafsir.

Menurut beliau lagi, pendekatan sedemikian bukan sahaja dapat menjaga kesucian lafaz Allah, malah menjadi kaedah dakwah yang beradab, berhikmah serta menyumbang kepada keharmonian hidup bermasyarakat.

Terdahulu, Ahli Parlimen pembangkang,  Siti Zailah Mohd Yusoff mempersoalkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggunakan kalimah sinonim dengan umat Islam pada persidangan Dewan Rakyat.

Siti Zailah (PN-Rantau Panjang) menyifatkan tindakan itu bukan sahaja mengelirukan masyarakat bukan Islam, malah seolah-oleh mempermainkan kesucian Islam.

Semalam, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Ahmad Fauwaz Fadzil juga berpendapat, penggunaann kalimah berkenaan oleh individu bukan Islam diharuskan tanpa unsur penghinaan atau mempermainkan agama dan tidak menimbulkan isu sensitiviti atau akidah.

Beliau berkata, isu berkenaan tidak seharusnya difokuskan semata-mata kepada golongan tertentu, sebaliknya perlu difahami dalam konteks pandangan dan perbahasan ulama yang lebih luas.

“Sebahagian ulama turut mengharuskan orang bukan Islam membaca Bismillah dalam situasi tertentu seperti rawatan yang boleh difahami sebagai tanda kelembutan hati yang dianugerahkan Allah SWT.

Ia seolah-olah Allah memberikan satu kelembutan hati dan dorongan perasaan Ilahi kepada mereka untuk mengucapkan kalimah-kalimah yang agung,” katanya.

Keharusan itu bagaimanapun tertakluk kepada syarat ia tidak dilakukan dalam bentuk mempermainkan atau memperlekehkan agama.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, turut berpandangan bahawa orang bukan Islam dibenarkan menyebut kalimah seperti Alhamdulillah sekiranya ia diucapkan dengan niat yang baik dan dalam konteks yang betul.

“Sekiranya dia menyebut bukan untuk bermain-main atau menghina dan dia benar-benar bermaksud bersyukur kepada Allah, maka tidak menjadi masalah untuk dia menyebut Alhamdulillah.

“Penggunaan kalimah berkenaan tidak dibenarkan sekiranya ia dibuat dengan niat mempermainkan atau mempersendakan agama Islam.

“Kalau dia sebut untuk main-main atau sengaja mahu menyinggung perasaan umat Islam, perkara itu tidak boleh diterima dan kita akan membantah,” katanya.

Mengulas persoalan sama ada individu bukan Islam memperoleh pahala apabila menyebut Alhamdulillah, Mohd Asri menjelaskan bahawa daripada sudut akidah Islam, pahala hanya diperoleh selepas seseorang itu beriman dan mengucap dua kalimah syahadah.

“Kalau dia tanya, adakah dia dapat pahala? Daripada sudut agama Islam, dia tidak mendapat pahala kerana pahala bermula selepas seseorang menganut Islam,” katanya.

“Allah SWT berkemungkinan mengurniakan ganjaran atau rezeki di dunia kepada individu berkenaan sekiranya ucapan itu lahir daripada keikhlasan.

“Itu urusan Allah di dunia. Kalau dia bersyukur kepada Allah dengan ikhlas, walaupun belum memeluk Islam, itu adalah urusan Allah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment