KANGAR 1 Feb. – Majlis Syura Ulama (MSU) Pas menerima borang permohonan keahlian baharu dikemukakan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang dihentikan keahlian masing-masing susulan kemelut politik Perlis sebelum ini.
Tiga bekas ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Dalam satu kenyataan, Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Ahmad Yahaya, memaklumkan permohonan itu akan diserahkan kepada pejabat Setiausaha Agung parti untuk pertimbangan Pas Pusat.
“Keputusan Majlis Syura Ulama Pas berkaitan rayuan tiga mantan ADUN Perlis ialah – MSU menolak daripada membuat keputusan atas nama rayuan sebab ia bukan dalam bidang kuasa MSU.
Menerima borang permohonan ahli baharu Pas dari tiga mantan ADUN tersebut dan diserah kepada Setiausaha Agung Pas untuk pertimbangan Pas Pusat,” katanya yang juga Ketua Dewan Ulama Pas,” kata kenyataan ringkas itu.
Terdahulu, media melaporkan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak Pas pada 27 Januari lalu menerima rayuan yang dikemukakan oleh tiga ADUN Pas Perlis yang dipecat.
Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dalam perkongsian di Facebook yang kemudian ditarik balik, berkata Majlis Syura Ulama Pas menerima rayuan tiga bekas ADUN berkenaan.
Jelasnya, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulama kali kedua bagi sesi 2026/2030 pada 27 Januari lalu di Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur.
Hashim berkata prinsip al-Quran antaranya Firman Allah SWT melalui Surah al-Hujurat: ayat 10 mengenai ukhuwah dan persaudaraan, bukannya menghentikan ahli tanpa kasih sayang menjadi antara pertimbangan.
Selain itu, katanya, manhaj Nabi Muhammad SAW dalam hukuman adalah mendahulukan taubat, membuka pintu kemaafan dan bukan tergesa-gesa menghukum, selain kaedah fiqh yang menyebut kemudaratan hendaklah dihilangkan.
“Apabila tiga kawasan DUN tiada wakil rakyat berfungsi, maka terhasillah kemudaratan awam yang jelas. Kebajikan rakyat tidak boleh dikorbankan demi ketegasan pentadbiran parti.
“Faktor lain adalah siasah syar’iyyah yang mana matlamatnya adalah menjaga kesatuan saf, memelihara kepercayaan dalaman serta mengurus khilaf tanpa memusnahkan jamaah.
“Rakyat tidak boleh menjadi mangsa konflik dalaman parti,” katanya.
Hashim berkata, Pas adalah jemaah Islam yang memperuntukkan kuasa besar kepada Majlis Syura Ulama dan Mursyidul Am dalam Perlembagaan untuk memelihara Perlembagaan supaya dasar Pas dipatuhi dalam kegiatan dan pentadbiran Pas.
“Majlis Syura Ulama perlu membawa watak adil, pendamai dan pemaaf dalam menyatukan ahli Pas yang berpecah, khasnya di Perlis supaya tidak berterusan.
“Ulama tidak boleh menambah api permusuhan yang marak menyala,” katanya.
Pada 24 Disember lalu, Pas memutuskan keahlian tiga ADUN terbabit terhenti serta-merta berikutan kemelut politik yang menyaksikan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli meletak jawatan.
Keputusan berkenaan dicapai menerusi Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berkata, keputusan dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025).
Nnn
