Pengerusi PN: Muhyiddin tidak berbohong

KUALA LUMPUR 1 Feb . – “Muhyiddin tidak berbohong” demikian penegasan bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin Yassin, Dr Marzuki Mohamad, berhubung cadangan pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya beliau mendakwa kem Hamzah Zainuddin sedang menuduh Muhyiddin kononnya berbohong mengenai pemansuhan jawatan Pengerusi PN dan menyifatkan ia sebahagian daripada gerakan “Muhyiddin Exit” dikepalai Hamzah.

Marzuki berkata sebagai saksi hidup yang berada ketika pertemuan Muhyiddin bersama tiga pemimpin Pas, baru-baru ini, beliau mempertahankan keputusan untuk memansuhkan jawatan terbabit dicapai hasil perbincangan itu.

Katanya, Presiden Pas,  Abdul Hadi Awang juga hadir dalam pertemuan itu selepas hasrat Pas mahu menjadi Pengerusi PN ditentang dua parti komponen lain iaitu Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Selain Muhyiddin dan Abdul Hadi, turut hadir pada pertemuan itu ialah Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas,  Takiyuddin Hassan.

Pertemuan itu turut dihadiri Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.

“Pertemuan pada malam itu diadakan untuk mencari jalan keluar kepada ‘deadlock’ berhubung pelantikan Pengerusi PN yang baharu. Pas mahu menjadi Pengerusi PN tetapi ditentang dua parti komponen yang lain, iaitu Gerakan dan MIPP.

“Untuk rekod, pertemuan pada malam itu bukan atas jemputan Muhyiddin. Tetapi Pas yang mahu bertemu Muhyiddin,” katanya menerusi hantaran di laman sosial.

Sebelum ini, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, mempersoalkan sama ada Muhyiddin berbohong melalui suratnya bertarikh 27 Januari lalu susulan surat Abdul Hadi yang membuat penafian berhubung cadangan pemansuhan jawatan Pengerusi PN itu.

Marzuki menerusi hantaran itu berkata, sebagai jalan keluar, pertemuan pada malam itu memutuskan untuk memperkasakan peranan Majlis Presiden PN, diketuai Muhyiddin dan menubuhkan Majlis Eksekutif PN, yang akan dipimpin Pas.

Beliau berkata, cadangan itu dipersetujui Gerakan dan MIPP kerana mereka melihat kedudukan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Presiden boleh mengimbangi imej Islam Pas yang lebih bersifat keras (hardline).

Katanya, melalui perbincangan itu, kemelut dapat diselesaikan dengan Perlembagaan PN akan dipinda bagi membolehkan struktur baharu itu dilakukan.

“Bermakna, selepas perlembagaan PN dipinda, PN akan mempunyai Pengerusi Majlis Presiden dan Pengerusi Majlis Eksekutif. Maka dengan sendirinya jawatan Pengerusi PN menjadi ‘redundant’ (bertindih).

“Nomenclature (istilah) Pengerusi PN tidak ada lagi manakala kuasa Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif akan diperincikan dalam Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan untuk mencadangkan pindaan perlembagaan PN

“Yang penting bukan ‘nomenclature’ Pengerusi PN. Tetapi bagaimanakah kuasa Pengerusi PN yang sedia ada dalam perlembagaan PN hendak diagihkan kepada Pengerusi Majlis Presiden dan Pengerusi Majlis Eksekutif,” katanya.

Maruzki berkata, jika Pas mahukah kuasa yang lebih, lebih kuasa boleh diagihkan kepada Pengerusi Majlis Eksekutif sebagai jalan penyelesaian dan perkara itu boleh dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal mengikut proses yang dipersetujui dalam pertemuan pada malam 16 Januari lalu.

“Ini cara bekerja yang betul. Ini tidak. Jawatankuasa Teknikal tidak dipanggil bermesyuarat tetapi tiba-tiba keluar notis Mesyuarat Luar Biasa PN yang agendanya bertentangan dengan persetujuan yang telah dicapai oleh Presiden Bersatu dan Pas dan dipersetujui oleh Presiden Gerakan dan MIPP.

“Kalau hendak buat keputusan sendiri, bertindak sendiri, lebih baik tidak perlu berbincang. Ini tindakan berniat jahat. Lebih jahat, proses perbincangan belum tamat tetapi menghukum Muhyiddin berbohong hanya kerana sekeping surat yang diutus Hadi.

“Nampaknya ada orang yang sengaja ‘throw spanner’ kepada persetujuan yang dicapai oleh Muhyiddin dan Hadi untuk kebaikan PN,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment