DAVOS – Amerika Syarikat (AS) mendedahkan pelan ‘Gaza Baharu’, pembangunan yang membayangkan wilayah Palestin yang musnah akibat perang dibina semula dengan pencakar langit, perumahan moden serta zon industri dan pelancongan.
Pelan induk itu dibentangkan semasa majlis di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos berkaitan penubuhan Lembaga Keamanan baharu Presiden Donald Trump, yang ditugaskan menamatkan perang Israel-Hamas dan menyelia usaha pembinaan semula.
Slaid menunjukkan deretan bangunan tinggi di sepanjang pesisir Mediterranean, pembangunan perumahan di Rafah, serta pelan berperingkat bagi kawasan kediaman, pertanian dan perindustrian untuk populasi kira-kira 2.1 juta orang.
Ia turut merangkumi pembinaan pelabuhan dan lapangan terbang baharu berhampiran sempadan Mesir.
“Kami akan sangat berjaya di Gaza,” kata Trump, sambil menyifatkan lokasi pesisir itu sebagai berpotensi besar untuk pembangunan.
Menantunya, Jared Kushner, berkata kira-kira 60 juta tan runtuhan perlu dibersihkan selepas lebih 90,000 tan peluru digugurkan sepanjang perang, dan menyifatkan pembinaan “New Rafah” dalam tempoh dua hingga tiga tahun sebagai sesuatu yang boleh dilaksanakan.
Pelan itu juga menekankan nyahketenteraan Gaza, dengan Trump memberi amaran bahawa Hamas mesti menyerahkan senjata.
Bagaimanapun, Hamas sebelum ini menolak pelucutan senjata tanpa penubuhan sebuah negara Palestin merdeka.
Nnn
