KUALA LUMPUR 21 Jan. – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa wujud persepsi dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan, apabila ada kes rasuah tertentu disiasat segera dan ada pula lambat atau tidak disiasat langsung.
Malahan, dakwanya penyiasatan melibatkan pihak yang ‘bukan kerajaan’ agak cepat berbanding di pihak kerajaan, lambat sedikit.
Wakil rakyat Pakatan harapan (PH) dari PKR itu berkata persepsi sedemikian sedikit sebanyak memberi kesan kepada usaha kerajaan yang komited untuk memerangi rasuah, termasuk pencapaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang tidak meningkat.
“Persepsi di luar sana melihat ada kes cepat disiasat, ada kes lambat disiasat, kadang-kadang tidak disiasat langsung. Ada kes cepat dituduh, ada kes tidak dituduh.
“Kadang-kadang saya merasa, yang (pihak) bukan kerajaan itu agak cepat sedikit penyiasatannya tapi jika di pihak kerajaan ini, lambat sedikit.
Dalam hal begini, nak salahkan kerajaan saja pun tidak adil juga. Contohnya, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) arah beku perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkait isu rasuah, maknanya bukan kerajaan tidak ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Hassan menjawab celahan Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang membangkitkan mengenai kes cari gali mineral di Sabah, yang mana hanya dua daripada 14 individu disiasat dituduh di mahkamah sehingga kini.
Beliau juga membangkitkan mengenai titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan rasuah mesti diperangi besar-besaran.
“Kalau baginda tidak bercakap, siapa lagi yang nak bercakap tetapi Tuanku, ampunkan patik bercakap di sini. Bagaimana kita nak perangi secara besar-besaran rasuah ini jika ada elit-elit tertentu dalam negara kita, pemimpin-pemimpin besar di negara kita telah didapati bersalah oleh mahkamah tetapi dibagi diskaun kemudian itu.
“Saya tidak kata ini kesilapan, tapi “something wrong” (sesuatu yang tidak kena). Dalam satu segi, kita nak perang habis-habisan, dalam satu segi, kita lepaskan (pula) dengan “diskaun.”
“Selain itu, dalam kalangan kita, pemimpin besar elitis ini, ramai pemimpin negara, dulu dan sekarang, kes di mahkamah mendapat DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan)
“Tidak cukup itu, kemudian diberi NFA (tiada tindakan lanjut). Jadi, saya simpati kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang gigih menyiasat,” katanya.
Nnn
