KUALA LUMPUR 13 Jan. – Dr Ahmad Zahid Hamidi menitipkan pesanan dan nasihat untuk dipertimbangkan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh pada pertemuan yang diadakan petang ini.
“Saya ada memberikan nasihat terbaik dan Dr Muhamad Akmal akan mengumumkan (hasil perbincangan) esok,” kata Presiden UMNO itu kepada pemberita di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) bagaimanapun enggan mendedahkan perincian perbincangan beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu.
Semalam, Dr Muhamad Akmal dilaporkan berkata, beliau akan akur dengan keputusan dibuat oleh Ahmad Zahid dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung kedudukan jawatan disandangnya ketika ini.
Ini kerana, kedua-dua pihak terbabit sebelum ini memilih beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.
Media sebelum ini melaporkan, Dr Muhamad Akmal memberi bayangan untuk berundur daripada dua jawatan disandangnya ketika ini selepas gesaan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan mendapat reaksi negatif daripada Ahmad Zahid.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebooknya, Akmal mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid atas nasihat yang diberikan pada pertemuan itu.
“Isi hati dan hasrat telah saya luahkan sebentar tadi. Terima kasih Datuk Seri Zahid Hamidi atas nasihat dan kesudian mendengar. InsyAllah moga ini yang terbaik untuk perjuangan agama,bangsa,tanah air dan UMNO,” katanya.
