KUALA LUMPUR 4 Feb. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu dasar dan garis panduan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kebenaran aktiviti pembakaran serta penjualan bungai api dan mercun.
Ketua Polis Negara (KPN) Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM akan mengikuti garis panduan dan dasar yang ditetapkan KDN berikutan pelaksanaan perkara tersebut demi menjamin keselamatan orang ramai.
“Saya baru tahu tentang perkara ini dan saya menunggu apakah dasar daripada KDN berikutan pelaksanaan perkara tersebut,” katanya ketika hadir program Hiking PDRM Bersama Komuniti Peringkat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Taman Persekutuan Bukit Kiara, di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Pembangunan Kerajaan tempatan, Nga Kor Ming, berkata, Kabinet bersetuju untuk membenarkan penjualan mercun dan bunga api, namun ia tertakluk peraturan serta garis panduan yang akan dikeluarkan kelak.
Katanya, KDN akan menentukan garis panduan untuk itu, manakala isu membabitkan duti akan ditetapkan Kementerian Kewangan.
Bercakap kepada media pada program Jalinan Muhibbah KPKT, beliau berkata, perkara itu dipersetujui melalui mesyuarat Kabinet selepas mengambil kira penjualan mercun dan bunga api boleh menjadi satu lagi punca hasil kepada negara.
“Semalam (kelmarin) Jemaah Menteri sudah meluluskan pembakaran mercun dan bunga api. Akan dihalalkan, tetapi ia tertakluk kepada permohonan lesen import dan duti serta mengikut peraturan dan garis panduan.
Kita tahu pembakaran mercun menjadi amalan seluruh rakyat Malaysia. Tak kira Tahun Baharu Cina, Deepavali, Aidilfitri atau Krismas,” katanya.
Kor Ming berkata ketika ini, mercun dan bunga api dijual sindiket secara ‘bawah tanah’ lantas tidak mengendahkan aspek keselamatan.
Apabila ia dihalalkan kelak, katanya, kerajaan bukan hanya dapat memungut ratusan juta hasil daripada pemegang lesen, malah akan ada kawal selia, penguatkuasaan dan undang-undang yang dipastikan.
“Saya harap dasar baharu ini akan memeriahkan lagi apabila menjelang Aidilfitri pada April nanti. Sekarang ni jual curi-curi. Lepas dapat lesen dia boleh jual di pusat beli-belah,” katanya
