JEJAKA batal Glamping with Pride

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Atas faktor keselamatan, penganjur program perkhemahan “Glamping with Pride” yang sebelum ini didakwa berunsur pergaulan songsang, mengambil keputusan tidak meneruskan program mereka.

Dalam satu kenyataan, JEJAKA, penganjur program berkenaan yang dijadualkan di Hulu Langat, hujung minggu ini, berkata pemilik lokasi program juga telah membatalkan tempahan atas faktor keselamatan.

Penganjur juga mendakwa turut menerima ugutan bunuh serta ancaman keganasan melalui media sosial dan semua ancaman sudah didokumenkan dan akan dirujuk kepada pihak berkuasa melalui laporan polis.

JEJAKA menegaskan dengan jelas bahawa pembatalan ini bukan kerana aktiviti rekreasi ini menyalahi undang-undang atau sebaliknya tetapi kerana keadaan semasa yang dicetuskan oleh retorik tidak bertanggungjawab, kecelaruan maklumat dan ‘fear mongering’ sehingga menjadikan nyawa sebagai taruhan keselamatan.

Menurut kenyataan itu, sebelum isu penganjuran ini disensasikan secara meluas, JEJAKA hanya menerima 14 orang yang mendaftar sebagai peserta namun dalam tempoh beberapa hari sahaja seramai 50 orang menyatakan minat untuk menyertai program pendidikan kesihatan ini.

“Akibat ketakutan dengan ugutan yang dicetuskan, 50 individu terbabit kini kehilangan ruang yang selamat untuk berkumpul dan belajar mengenai kesihatan di ruang alam semula jadi Malaysia. Ini kesan sebenar stigma dan kepanikan moral.

“Kami juga kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, institusi dan tokoh awam yang gagal menenangkan keadaan.

Mereka gagal menjalankan tugas mereka untuk mempertahankan golongan minoriti daripada ancaman malah lebih memburukkan lagi situasi ini. Ancaman keganasan terhadap mana-mana pihak bukanlah penyelesaian bagi apa-apa perbezaan pandangan,” kata kenyataan itu.

JEJAKA turut menyatakan, komuniti lesbian, biseksual, trans dan queer (LGBTQ+) wujud di seluruh Malaysia sama ada di bandar mahupun desa, dalam kalangan keluarga dan tempat kerja dan komuniti seluruh negara.

“Kami bukan ancaman, kami bukan orang asing, kami semua adalah rakyat Malaysia. Hak kami untuk hidup dengan selamat, bermaruah dan tanpa ketakutan juga dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan kewajipan untuk melindungi hak ini terletak kepada semua pihak,” kata JEJAKA.

Related posts

Leave a Comment