KUALA LUMPUR 13 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengumumkan penubuhan sebuah organisasi di luar lingkungan politik kepartian pada hari terakhir Perhimpunan UMNO 2025, pada 17 Januari ini.
Katanya, cadangan penubuhan organisasi berkenaan telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri, sekali gus membolehkan pengumuman rasmi dibuat pada persidangan tersebut.
“Pada hari terakhir persidangan Perhimpunan Agong ini saya akan umumkan sesuatu iaitu sebuah organisasi di luar lingkungan politik.
“Saya cadangkan untuk kita menubuhkannya (organisasi) dan kabinet juga telah meluluskan…saya akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Multaqa Ilmuan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Presiden UMNO itu bagaimanapun tidak memperincikan fungsi dan peranan organisasi berkenaan.
Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden UMNO tidak menolak kemungkinan menjemput parti-parti politik lain menghadiri Multaqa Ilmuan Islam Malaysia pada masa akan datang, sejajar usaha memperluas wacana ilmiah dan mengukuhkan perpaduan ummah di negara ini.
Terdahulu dalam ucapan penutupnya, beliau terharu dengan penyertaan lebih 800 peserta dan bersedia menganjurkannya tahun depan di Dewan Merdeka supaya dapat menampung lebih ramai peserta.
Nnnn
