SEPANG 10 Jan. – Ketua Pemuda UMNO, Dr Mohamad Akmal Saleh akan mengumumkan kedudukannya di dalam parti pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur minggu hadapan.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya, Exco Kerajaan Negeri Melaka itu jua berkata, kedudukannya di dalam kerajaan juga akan diumumkan di PAU.
“InsyAllah kedudukan saya di dalam parti dan kerajaan juga akan saya umumkan di dalam PAU minggu hadapan. Siapalah kita tanpa rakyat yang mengangkat kita pada hari ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.
Akmal sebelum ini dikritik susulan penganjuran Konvensyen Khas Pemuda UMNO Sabtu lalu, dan menyuarakan kesediaan berundur tanpa menyatakan sama ada membabitkan jawatan ketua sayap atau dalam pentadbiran kerajaan Melaka.
Pada konvensyen khas itu, beliau menggesa UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang bermaruah serta bekerjasama dengan Pas bagi mempelopori usaha penyatuan ummah.
Namun, penegasan itu menerima kecaman dan kritikan hebat termasuk dari rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya DAP, PKR dan Amanah yang memendesak supaya beliau meletak jawatan sebagai Exco Melaka.
Desakan semakin hebat selepas Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan UMNO akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga habis penggal ini, susulan Mesyuarat Biro Politik UMNO pada Isnin lalu.
Akmal kemudiannya dilaporkan akan meletak jawatan tetapi disangkal Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam pada itu Akmal dalam kenyataan di Facebooknya hari ini membayangkan akan terus bersuara di Perhimpunan Agung UMNO membawa suara akar umbi parti melalui cawangan dan bahagian demi penyatuan agama bangsa.
“Kita dah bersuara di konvensyen dengan mendengar suara orang awam. InsyAllah kita teruskan bersuara di Perhimpunan Agung UMNO pula minggu depan membawa suara akar umbi parti melalui cawangan dan bahagian
Jangan pernah takut untuk bercakap mengenai perkara yang betul. Bukan kerana jawatan dan pangkat kita menjadi pemimpin,tetapi kerana rakyat di bawah,” katanya dalam hantaran yang turut menyertakanfoto barisan Exconya.
Semalam, Exco Pemuda UMNO, Aizat Azam berkata, Akmal tidak berundur dari jawatannya dalam pergerakan itu sebaliknya akan meneruskan tugas seperti biasa.
Katanya, sayap itu terus menyokong kepemimpinan Akmal untuk terus menerajui pergerakan berkenaan.
“Dr Akmal Saleh akan teruskan tugas sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Exco Pemuda UMNO ‘solid’ sokong Dr Akmal terus ‘lead’ (ketuai) Pemuda UMNO,” katanya.
Nnnn
