Cacar monyet darurat kesihatan awam?

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan memanggil mesyuarat tergempar 23 Jun ini bagi menilai sama ada penularan cacar monyet menimbulkan darurat kesihatan awam yang berpotensi mencetuskan kebimbangan antarabangsa.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Gheyreyesus memaklumkan sudah tiba masa untuk mempertimbangkan meningkatkan tindak balas terhadap penularan cacar monyet berikutan lebih banyak negara melaporkan kes jangkitan.

Menurut WHO, terdapat 1,600 kes disahkan cacar monyet dan 1,500 yang disyaki cacar monyet tahun ini yang dilaporkan di 39 negara dengan 72 kematian akibat penyakit itu, termasuk di negara-negara di mana virus tersebut lazimnya merebak. 

Pakar sebelum ini mendesak WHO mengambil tindakan lebih cepat selepas agensi itu dikritik kerana didakwa lambat bertindak dalam isu penularan cacar monyet.

Selain Covid-19 dan polio, penularan wabak lain yang diisytiharkan sebagai darurat kesihatan awam ialah ebola pada 2014.

Pengisytiharan WHO akan membantu mempercepatkan kajian dan dana untuk mengawal wabak tersebut.

Beberapa negara sudah memulakan program vaksinasi bagi cacar monyet.

Cacar monyet merupakan endemik di sesetengah bahagian Afrika tetapi terdapat lebih banyak kes dikesan di negara-negara Afrika dan di seluruh dunia baru-baru ini.

Virus itu menyebabkan gejala seakan-akan demam selesema serta ruam pada kulit dan ia merebak melalui kontak rapat. 

Ia dianggap boleh membawa maut dalam sekitar tiga hingga enam peratus kes, dan meskipun tiada kematian yang dilaporkan dalam kalangan kes jangkitan di luar Afrika setakat ini, kebanyakan kematian tahun ini berlaku di Republik Demokratik Congo. 

Related posts

Leave a Comment