KUALA LUMPUR 9 Jan. – Sebanyak 104 bahagian sudah menghantar usul berhubung pengampunan penuh terhadap Datuk Seri Najib Razak untuk dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan diadakan dari 14 hingga 17 Januari ini.
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata usul berhubung pengampunan untuk bekas Perdana Menteri itu adalah yang paling banyak diterima daripada keseluruhan 662 usul susulan persidangan bahagian-bahagian tahun lalu.
UMNO mempunyai 191 bahagian di seluruh negara, kecuali Sarawak.
Menurut Dr Asyraf Wajdi, dalam aspek pendidikan – sebanyak 56 bahagian mengusulkan supaya kerajaan memperluaskan pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara menyeluruh kepada golongan muda, termasuk penambahan kolej komuniti serta peluasan kurikulum TVET.
Katanya, setakat ini Ibu Pejabat UMNO tidak menerima usul menuntut UMNO keluar Kerajaan Perpaduan.
“Bagaimanapun, kita tidak menghalang jurucakap negeri untuk menyentuh isu itu. Jadi, ia mungkin dibangkitkan atau dicetuskan dalam perbahasan,” katanya pada sidang media khas sempena PAU, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pihak Ibu Pejabat UMNO tidak pernah menghalang sebarang pandangan kerana PAU adalah medan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh kepimpinan dan ahli parti.
“Perhimpunan Agung UMNO secara tradisinya adalah medan muhasabah dan introspeksi parti,” katanya.
Katanya, seramai 6,412 perwakilan mengesahkan kehadiran pada perhimpunan kali ini yang meliputi 2,928 perwakilan PAU, 1,165 perwakilan Perhimpunan Wanita, 1,173 perwakilan Perhimpunan Pemuda dan 1,146 Perhimpunan Puteri UMNO.
Dalam perkembangan berkaitan, Asyraf Wajdi memaklumkan PAU kali ini tidak menjemput wakil parti daripada Kerajaan Perpaduan kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada isu dalaman.
“Kali ini kita tidak menjemput mana-mana pihak luar kerana mahu ahli dan perwakilan bercakap secara terbuka mengenai isu dalaman parti.
“UMNO ini kaya dengan adab dan tradisi kemelayuan. Jika ada pihak luar dijemput, perwakilan mungkin berasa terbatas untuk meluahkan pandangan secara terbuka,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa UMNO mengamalkan budaya bersopan santun dalam menyampaikan pandangan, selaras dengan tradisi parti.
Sementara itu, beberapa program ‘pemanas’ menjelang PAU akan berlangsung pada 13 Januari ini didahului dengan Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia yang dijangka dihadiri 800 orang peserta termasuk ilmuwan Islam.
Ini diikuti pada sebelah tengah hari, Majlis Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO; manakala pada sebelah petang, Program Skuad Sayang 3K dan Program Jom Sihat Wanita UMNO dan Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu pada sebelah malam.
Pada hari berikutnya, 14 Januari akan berlangsung Simposium Politik Era Digital diikuti taklimat tertutup Presiden UMNO dan pada sebelah malam perasmian serentak perhimpunan sayap-sayap parti oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hassan.
Persidangan sayap akan berlangsung pada 15 Januari manakala Perhimounan Agung UMNO bermula pada 16 Januari.
nnn
