KUALA LUMPUR 9 Jan. – Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menafikan dakwaan peletakan jawatan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, yang tular di media sosial hari ini.
Beliau berkata pihaknya tidak berpandukan kepada spekulasi atau khabar angin yang berlegar di media sosial dalam menentukan kedudukan kepimpinan parti.
“Tidak ada. Setakat ini tiada surat rasmi diterima. Sebagai Setiausaha Agung parti, kita tidak berpandukan kepada apa yang diperkatakan di media sosial atau cakap-cakap yang berlegar,” katanya ketika diminta mengulas perkara itu.
Sebelum ini, sebuah portal mendakwa Akmal sudah menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau.
Menurut sumber yang rapat dengan UMNO, Akmal memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pemimpin Pemuda menerusi mesej dalam aplikasi WhatsApp semalam.
Asyraf Wajdi dalam pada itu secara peribadi turut menasihatkan Akmal supaya tidak mengambil hati dengan perbezaan pendapat yang berlaku kini.
“Secara peribadi, sebagai abang kepada Dr Akmal yang juga bertanggungjawab meletakkan dia di situ (Ketua Pemuda), perbezaan pandangan itu biasa.
“Saya dulu pun pernah jadi Ketua Pemuda, pada satu ketika pandangan saya tidak diterima oleh semua Majlis Kerja Tertinggi (MKT), tetapi itu tidak menyebabkan kita harus mengundur diri ataupun lemah semangat kerana itu biasa di dalam tradisi berorganisasi.
“Kadang-kala pandangan kita itu diterima kadang-kala ia tidak diterima, Tapi paling penting dalam prinsip UMNO ini kita sentiasa berpandukan kepada syura. Agree to disagree’ dan kalau tak bersetuju, akhirnya kita akan ada kata sepakat,” katanya.
Nnnn
