Biar siasatan berjalan

KUALA LUMPUR 10 Jun – “Biar siasatan berjalan dan selepas ini kita akan umumkan hasil siasatan, masih terlalu awal lagi untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” kata Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata,masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan punca kemalangan membabitkan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi semalam.

Ayob Khan berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, PDRM akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan membabitkan bas sewa khas UPSI di JRTB itu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, PDRM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan pihak berkaitan akan menyiasat nahas itu secara menyeluruh.

Katanya, polis akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk membolehkan pemandu bas terbabit kejadian itu didakwa di mahkamah.

Semalam, seramai 15 pelajar UPSI meninggal dunia, manakala tujuh lagi parah selepas bas yang mereka naiki terbalik dalam kemalangan pada pukul 1.15 pagi.

Bas membawa 42 pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Alza dan terbalik, menyebabkan 15 pelajar terbunuh.

Sementara itu perintah reman terhadap pemandu bas yang terbabit dalam nahas itu akan dibuat sebaik beliau keluar dari hospital.

Ketika ini pemandu berusia 42 tahun itu sedang dirawat di Hospital Taiping bersama kelindan yang juga mengalami kecederaan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment