WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan agensi-agensi kerajaan menarik diri daripada 66 organisasi antarabangsa yang menurut pentadbiran beliau tidak lagi berkhidmat untuk kepentingan AS.
Trump menandatangani satu “Memorandum Presiden” yang ,mengeluarkan arahan kepada semua Jabatan dan Agensi Eksekutif.
Menurut maklumat yang dikongsi Rumah Putih, arahan melibatkan menghentikan penyertaan serta pembiayaan terhadap 35 organisasi bukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan 31 entiti PBB yang beroperasi bertentangan dengan kepentingan nasional, keselamatan, kemakmuran ekonomi atau kedaulatan AS.
Rumah Putih memaklumkan bahawa langkah tersebut susulan satu “semakan yang diarahkan awal tahun ini terhadap semua organisasi antara kerajaan antarabangsa,” sambil berhujah bahawa “pengunduran ini akan menamatkan pembiayaan dan penglibatan pembayar cukai Amerika dalam entiti yang mengutamakan agenda globalis berbanding keutamaan AS.”
Tidak lama selepas dikeluarkan, Rumah Putih memadam halaman yang mengandungi maklumat mengenai memorandum tersebut.
Sebelum ini, pentadbiran Trump telah menangguhkan sokongan terhadap agensi seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan agensi kebudayaan UNESCO.
Selaras dengan pendekatan “a-la-carte” dalam menyalurkan sumbangan kepada badan dunia, memilih operasi dan agensi yang dianggap selari dengan agenda Trump dan menolak yang tidak lagi berkhidmat kepada kepentingan AS.
Langkah ini menandakan perubahan besar berbanding pentadbiran terdahulu, sama ada Republik atau Demokrat dalam pengurusan hubungan dengan PBB, dan memaksa badan dunia tersebut, yang sedang melalui penstrukturan dalaman, mengambil tindakan termasuk pemotongan kakitangan dan program.
Nnnn
