Lonjakan kes jangkitan di Thailand

BANGKOK 9 April – Thailand terus mencatatkan peningkatan kes jangkitan Covid-19, dalam tempoh 24 jam dengan merekodkan 559 kes baharu dan satu kematian berbanding 405 kes semalam.

Daripada jumlah itu, 549 adalah kes penularan tempatan iaitu 148 melalui pengesanan kes aktif, 401 di hospital manakala 10 kes import yang menjadikan jumlah keseluruhan 30,869 kes dan 96 kematian.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), sebanyak 214 kes berkaitan dengan pusat hiburan di pelbagai wilayah termasuk 85 di Bangkok, 31 Samut Prakan, 28 Prachuap Khiri Khan (Hua Hin), tujuh di Chon Buri dan lima Chiang Mai.

Kes kematian pula melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun, banduan di penjara wilayah Narathiwat.

Sepuluh kes import pula melibatkan mereka yang dikuarantin sejurus tiba dari

United Kingdom (1), Amerika Syarikat (1), Indonesia (1), Perancis(1), China (2), Estonia (1), Malaysia (1) dan Belgium (2).

Daripada 30,869 kes keseluruhan , sebanyak 28,128 (91%) dilaporkan sembuh termasuk  27 yang dibenarkan pulang dari hospital manakala  2,645 masih menerima rawatan.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha menegaskan hospital  mempunyai kit ujian Covid-19 yang mencukupi.

Katanya, masalah yang perlu diselesaikan sekarang ialah mengurangkan kesesakan di hospital.

Sebelum ini media tempatan melaporkan banyak hospital swasta di Bangkok menangguhkan ujian saringan Covid-19 berikutan kekurangan kit ujian dan katil. 

Prayuth berkata kerajaan akan mewujudkan hospital lapangan di Bangkok untuk menampung pesakit Covid-19.

Beliau berkata, walaupun terdapat peningkatan jumlah pesakit, keadaan masih terkawal dan menyeru rakyat meraikan Songkran atau tahun baru tradisional Thailand minggu depan dalam keadaan norma baharu. 

Related posts

Leave a Comment