KUALA LUMPUR 7 Jan. – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pengendali pengangkutan awam utama di Lembah Klang dan Pulau Pinang merekodkan jumlah perjalanan penumpang harian sebanyak 1.31 juta, tahun lalu.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding 1.18 juta pada tahun sebelumnya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata, Prasarana juga berjaya mencatatkan rekod jumlah perjalanan penumpang harian tertinggi dalam sejarah penubuhannya iaitu sebanyak 1.63 juta pada 31 Disember 2025.
“Pencapaian ini membuktikan kebolehpercayaan operasi perkhidmatan rel dan bas yang semakin kukuh dan konsisten.
“Prasarana juga berjaya mengurangkan jumlah bilangan gangguan perkhidmatan rel kepada hanya 31 gangguan pada tahun 2025 berbanding 71 gangguan yang direkodkan pada 2024, iaitu penambahbaikan sebanyak 56 peratus.
“Kejayaan memberangsangkan itu adalah hasil inisiatif yang digerakkan sejak tahun 2021 seperti penyelenggaraan aset yang lebih sistematik dan proaktif, pengukuhan kecekapan operasi serta penambahbaikan ketepatan masa perkhidmatan bagi memastikan perjalanan penumpang lebih lancar dan terancang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2025 dan Pelan 2026 di Menara Prasarana, di sini, hari ini.
Mengenai perkembangan dan penambahbaikan segmen bas, Loke berkata pada tahun 2025, ketersediaan perkhidmatan (Level of Service – LOS) RapidBus berjaya mencatat peningkatan kepada 1,355 bas, berbanding 1,165 pada tahun sebelumnya.
Jumlah itu termasuk ketersediaan perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD) yang sudah dipertingkatkan pada tahun lalu.
Katanya, usaha pemodenan armada bas sedang giat dilaksanakan, dengan perolehan 310 bas diesel baharu yang diterima secara berperingkat sejak tahun lalu yang dijangka lengkap sepenuhnya menjelang Februari 2026.
“Sebanyak 250 bas elektrik fasa pertama disasarkan untuk penghantaran awal pada Mac 2026, dengan keseluruhan perolehan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2027,” katanya.
Loke berkata, daripada segi penambahbaikan kemudahan, Prasarana berjaya menyiapkan 301 hentian bas dan 16 laluan pejalan kaki manakala 43 hentian bas dan 17 laluan pejalan kaki masih dalam pembinaan.
Sementara itu pendigitalan Pas Bulanan My50 (Digital Transit Pass – DTP) yang dilancarkan pada 1 Julai 2025 juga mencatat penerimaan yang memberangsangkan.
Pada Disember 2025, kadar penggunaan DTP mencapai 37 peratus daripada jumlah 254,329 pengguna pas bulanan berkenaan.
Bagi tempoh Julai hingga Disember 2025, sebanyak 556,618 pas Digital My50 dibeli secara kumulatif, sekali gus menunjukkan keyakinan pengguna yang semakin meningkat terhadap sistem tiket digital
Selaras dengan slogan Prasarana ‘Memajukan Mobiliti, Memperkaya Pengalaman’, pengenalan versi baharu aplikasi perancangan perjalanan MyRapid Pulse dilaksanakan pada 1 Mei 2025, dengan menawarkan fungsi lebih mesra pengguna.
Ia termasuk ciri Jelajah Bandar yang membantu pengguna mengenal pasti lokasi-lokasi menarik di sekitar Lembah Klang berdasarkan kategori seperti mercu tanda pelancongan, pusat tumpuan awam dan sebagainya.
Sehingga kini, aplikasi MyRapid PULSE itu sudah dimuat turun sebanyak 240,000 kali dengan 96,000 pengguna aktif.
Seramai 34,426 pengguna aktif mingguan menggunakan fungsi real bus tracking, membolehkan mereka memantau lokasi serta waktu ketibaan bas secara masa nyata, sekali gus membolehkan pengguna mengurus perjalanan harian mereka.
Nnnnnnn
