ISTANBUL – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengecam tindakan Parlimen Israel meluluskan pindaan undang-undang untuk menghentikan operasi agensi PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA).
Beliau menyifatkan langkah itu bertujuan untuk terus melemahkan keupayaan agensi berkenaan menjalankan operasinya dan melaksanakan mandat yang diberikan kepada agensi itu.
“Undang-undang ini serta pindaan berkaitan adalah tidak selaras dengan status dan rangka kerja undang-undang antarabangsa yang terpakai kepada UNRWA dan mesti dimansuhkan dengan segera,” kata Guterres dalam satu kenyataan.
Parlimen Israel sebelum ini pada Isnin meluluskan rang undang-undang untuk memutuskan bekalan elektrik dan air ke pejabat UNRWA, dengan langkah itu berkuat kuasa serta-merta.
Guterres berkata, UNRWA beroperasi sebagai komponen penting PBB dan dilindungi sepenuhnya di bawah Konvensyen mengenai Keistimewaan dan Kekebalan PBB, yang merangkumi aset, harta benda, pegawai serta kakitangannya.
Tegasnya, harta yang digunakan oleh UNRWA adalah tidak boleh diganggu gugat serta mengingatkan kewajipan Israel di bawah Piagam PBB serta Konvensyen mengenai Keistimewaan dan Kekebalan PBB.
