SEPANG 1 Jan – Mulai hari ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat bagi pesalah yang membuang sampah kecil di tempat awam.
Orang ramai yang didapati bersalah berdepan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat hingga 12 jam dan denda hingga RM2,000 mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 atau Akta 672 dikuatkuasakan.
Pesalah yang disabitkan dengan hukuman ini perlu menjalani aktiviti khidmat masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan.
Perintah Khidmat Masyarakat merangkumi mengutip sisa pepejal, menyapu sisa pepejal, mencuci, mengelap lantai, mengecat, membuang sisa pepejal, memotong rumput, mengalihkan bangkai dan membersihkan sarang labah-labah.
KPKT berkata, langkah itu bertujuan mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan awam dan tiada pihak dikecualikan termasuk pelancong asing.
“Perintah Khidmat Masyarakat ini mula dikuatkuasakan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Kedah, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Bagi negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu, pelaksanaan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pegawai daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan SWCorp akan memantau perlaksanaan bagi memastikan aktiviti ini dijalankan mengikut prosedur dan bebas daripada penyalahgunaan kuasa.
Dalam kenyataan sama, KPKT memaklumkan undang-undang tidak menghendaki pesalah menghabiskan tempoh 12 jam dalam satu sesi berterusan.
“Penjadualan dan pengawasan akan ditentukan oleh pegawai yang diberi kuasa mengikut perintah mahkamah.
“Tindakan enggan, melawan, gagal mematuhi atau melarikan diri daripada Perintah Khidmat Masyarakat adalah satu kesalahan berasingan di bawah peruntukan undang-undang yang dipinda.
“Jika disabitkan kesalahan atas ketidakpatuhan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000,” katanya.
Pengawasan dan penguatkuasaan akan dijalankan oleh pegawai yang diberi kuasa daripada agensi sedia ada seperti PBT di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan pegawai yang diberi kuasa yang dilantik di bawah Akta 672 termasuk pegawai dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di negeri yang telah menerima pakai akta itu.
Nnn
