DHAKA – Jutaan rakyat Bangladesh yang berkabung memberi penghormatan terakhir kepada perdana menteri wanita pertamanya, Begum Khaleda Zia.
Mereka termasuk pegawai tertinggi kerajaan, diplomat dan tetamu kenamaan dari Asia Selatan.
Ketua Penasihat Kerajaan Interim, Muhammad Yunus, anak lelaki Khaleda Tarique Rahman, Ketua Hakim Negara Zubayer Rahman Chowdhury, pegawai tertinggi tentera, pemimpin Parti Warga Nasional (NCP) Nahid Islam serta ketua Jamaat-e-Islami Bangladesh, Shafiqur Rahman, antara yang menyertai solat jenazah di hadapan bangunan Parlimen.
Kenamaan asing yang menghadiri upacara pengebumian itu termasuk Speaker Dewan Perhimpunan Kebangsaan Pakistan Sardar Ayaz Sadiq, Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar, Menteri Luar Nepal Bala Nanda Sharma, Menteri Luar Sri Lanka Vijitha Herath serta Menteri Luar Bhutan Lyonpo D. N. Dhungyel.
Ayaz dan Jaishankar turut menyampaikan perutusan takziah daripada negara masing-masing kepada Tarique Rahman.
Kawasan sekitar Jatiya Sangsad Bhaban (bangunan parlimen) menyaksikan jutaan rakyat dari seluruh Bangladesh berkumpul di Manik Mia Avenue di tengah kawalan keselamatan yang ketat bagi memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin yang dikenali sebagai pejuang demokrasi bersemangat waja.
Semua laluan utama menuju ke jalan berkenaan dipenuhi orang ramai.
Khaleda, pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) meninggal dunia pada pagi Selasa pada usia 80 tahun selepas sekian lama menghidap pelbagai penyakit.
Jenazah Khaleda dibawa ke lokasi pengebumian dari kediaman anak lelakinya sebelum tengah hari mengikut istiadat negara dan dikebumikan dengan penghormatan negara di sebelah pusara suaminya, Ziaur Rahman.
Dilahirkan pada 1945, Khaleda mula terlibat secara aktif dalam arena politik selepas pembunuhan suaminya, Presiden Ziaur Rahman di bandar pelabuhan Chittagong pada 1981.
Khaleda, yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak tiga kali, mengetuai gerakan demokrasi pada 1980-an di bawah pentadbiran Presiden Hussain Muhammad Ershad.
Beliau pertama kali menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum 1991.
Nnn
Foto fb BNP
