KOTA BHARU 5 Sept. – Selepas tidak disenaraikan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili negeri ini.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini, bersetuju memilih bekas ahli Parlimen Bachok, sebagai Senator bagi menggantikan Mohd Apandi Mohamad yang tamat tempoh perkhidmatannya pada Julai lalu.
Pencalonan Nik Mohamad Abduh dikemukakan Menteri Besar, Mohd Nassuruddin Daud, selepas Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah, mengumumkan usul Pemilihan Ahli Dewan Negara.
Cadangan calon itu disokong Timbalan Menteri Besar, Dr Mohamed Fadzli Hassan.
“Sukacita saya memaklumkan pada 1 Jun lalu saya menerima satu surat daripada Setiausaha Dewan Negara yang memaklumkan penamatan tempoh perkhidmatan Senator Mohd Apandi Mohamad.
“Pada hari ini DUN diminta membuat pemilihan untuk melantik seorang Ahli Dewan Negara bagi mewakili dewan ini berikutan perkhidmatan ahli Dewan Negara tamat tempoh pada 7 Julai lalu,” kata Mohd Amar ketika mengumumkan kekosongan kerusi terbabit.
Nik Mohamad Abduh adalah anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pernah menjadi ahli Parlimen selama dua penggal iaitu di Parlimen Pasir Mas dan Bachok.
