Cari titik persamaan, henti bertelagah

SEPANG 30 Dis. – Mursyidul Am Pas Hashim Jasin menyeru seluruh kepemimpinan politik dan rakyat untuk kembali kepada agenda penyatuan ummah dengan mencari titik persamaan demi kestabilan negara.

Katanya, tenaga dan masa yang ada sepatutnya digembleng untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat, ekonomi, dan kedaulatan negara, bukannya dihabiskan untuk bertelagah sesama sendiri.

​“Kita perlu berlapang dada dan membuang ego untuk duduk berbincang atau setidak-tidaknya mengamalkan politik matang dan sejahtera. Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjadi asbab untuk kita bermusuh sehingga memutuskan silaturahim.

​Kepada ahli-ahli dan penyokong Pas khususnya, serta umat Islam amnya, marilah kita menjadi contoh teladan dalam mempamerkan kematangan berpolitik,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik melalui media sosial.

Hashim pada masa yang sama meminta semua pihak menghentikan segala naratif yang bersifat fitnah dan serangan yang memecahbelahkan.

Katanya, apa yang membimbangkan adalah budaya tuduh-menuduh, serangan peribadi, dan lemparan tohmahan yang dilihat semakin membarah dan menjauhkan diri daripada adab sopan serta akhlak Islamiah.

​“Suka untuk saya memperingatkan diri saya dan semua pihak, bahawa budaya tuduh-menuduh tanpa asas yang kukuh tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada agama, bangsa, mahupun negara.

Sebaliknya, ia hanya akan melebarkan jurang perpecahan, menyemai benih kebencian, dan akhirnya merugikan rakyat yang mendambakan pembelaan nasib mereka.

​Islam mengajar kita untuk bersangka baik (husnuzon) dan menyiasat sesuatu berita (tabayyun) sebelum menyebarkannya,” katanya.

Beliau juga meminta seluruh anggota Pas dan penyokong untuk kekalkan fokus kepada gerak kerja dakwah dan kebajikan, serta mengelakkan daripada terheret dalam kancah provokasi yang tidak berkesudahan.

​“Semoga Allah SWT melembutkan hati-hati kita untuk bersatu padu dan memelihara negara ini daripada sebarang kemudharatan perpecahan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment