KANGAR 30 – Semua empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, langkah tersebut terpaksa diambil susulan pendirian Pas yang memilih untuk tidak menyertai barisan Exco kerajaan negeri, walaupun parti itu kekal bersama Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.
“Kerajaan Perlis tiada pilihan selain melantik semua ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi memastikan pentadbiran negeri dapat diteruskan secara stabil dan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya pada sidang media
Menurutnya, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Perlis, minimum lantikan Exco ialah empat orang tanpa Menteri Besar dan bilangan ADUN Bersatu sedia ada mencukupi bagi membolehkan kerajaan negeri beroperasi.
“Sekarang ini kita tidak ada pilihan, hanya Parti Bersatu selain daripada saya, ada empat lagi yang merupakan ADUN-ADUN yang telah menang masa PRU-15.
Jadi tidak ada salah dan tidak ada kurang lah, terpaksa kita memberi ruang kepada mereka untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat Perlis dalam membangunkan negeri.
“(Ini) meneruskan legasi Perikatan Nasional tanpa diduduki ataupun bersama dengan Pas yang duduk dalam barisan Kabinet Kerajaan Negeri Perlis,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar Perlis di sini pada Selasa.
Pas sebelum ini menegaskan bahawa semua ADUN parti itu tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua anggota Exco Pas sedia ada pula akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Jelas Abu Bakar, dengan jumlah ADUN Bersatu yang ada, mereka memenuhi keperluan tersebut dan lantikan tersebut boleh dibuat tanpa sebarang masalah dari sudut perundangan.
Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak bercadang untuk mengecilkan bilangan portfolio Exco, sebaliknya akan menggabungkan beberapa portfolio kecil bagi memastikan pentadbiran lebih berkesan dan tidak membebankan mana-mana Exco.
Ada portfolio yang mungkin akan digabungkan. Kita mahu pastikan setiap Exco dapat memberi tumpuan kepada pembangunan negeri dan kebajikan rakyat,” katanya.
Abu Bakar turut memaklumkan bahawa pelantikan barisan Exco kerajaan negeri dijangka diselesaikan dalam tempoh dua minggu, selaras dengan janji yang telah dibuat sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa tiga ADUN yang telah diberhentikan keahlian sebagai ahli Pas turut akan dilantik sebagai Exco jika status mereka masih kekal sebagai ADUN selain tidak berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN masing-masing.
