UMNO perlu nilai semula kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR 24 Dis. – UMNO perlu menilai semula kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya apa yang berlaku berkaitan Titah Adendum membabitkan Najib Razak, dilihat bercanggah prinsip perjuangan parti khususnya dalam mempertahankan kedaulatan raja-raja.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah,  yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata pendirian itu penting bagi memastikan parti kekal berpegang kepada undang-undang dan Perlembagaan UMNO yang menjadi asas perjuangan sejak penubuhannya.

Malahan jika kepemimpinan UMNO beranggapan isu itu bertentangan dengan prinsip parti, maka pemimpin parti yang memegang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan perlu mempertimbang untuk melepaskan kuasa atau jawatan masing-masing.

“Langkah itu bagi membolehkan UMNO kembali mempunyai kuasa dan pengaruh dalam landskap politik negara tanpa bergantung pada mana-mana parti politik lain.

UMNO ada undang-undang dan Perlembagaan sendiri yang sepatutnya kita hormati, ikut dan patuh. Jika tidak, tiada maknanya perjuangan UMNO selama ini sekiranya hanya kerana kerusi empuk (jawatan),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu menegaskan jika dirinya adalah Presiden UMNO, beliau akan menarik diri daripada menyertai Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia bukan soal duduk (berada) atau tidak dalam kerajaan… yang penting perjuangan kita, ke mana kita hendak pergi… itu yang lebih penting daripada jawatan.

“Jawatan ini semua sementara. Rakyat suka dekat kita, naiklah kita… tetapi perjuangan itu akan sampai ke anak cucu cicit dengan harapan ia akan berjaya, insya-Allah,” katanya mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Hakim Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO itu bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.

Susulan itu Najib kekal menjalani baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang, bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, keputusan itu mengundang pelbagai reaksi khususnya dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO apabila Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin didakwa ‘meraikan’ perkara berkenaan.

Ku Li turut mempersoalkan sikap berdiam diri sebahagian pimpinan tertinggi UMNO yang dilihat tidak mengadakan sidang atau perbincangan khusus mengenai isu Titah Adendum.

“UMNO sepatutnya mengikhtiarkan satu pendirian rasmi supaya satu resolusi dapat dicapai dan memuaskan semua pihak.

“Walaupun Najib perlu menjalani hukuman sebagaimana diputuskan mahkamah, usaha mendapatkan pengampunan masih wajar diteruskan atas pertimbangan kemanusiaan, memandangkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mempunyai kuasa berkaitan perkara itu.

“Perjumpaan (sidang media) ini bukan bertujuan mengkritik atau mempertikaikan kuasa-kuasa dalam Perlembagaan negara. Bahkan, kita sendiri menghormati perintah mahkamah serta menjunjung perintah YDPA yang menjadi tonggak utama dalam negara ini.

“Saya cuma mahu meluahkan rasa terkilan saya terhadap sikap segelintir pimpinan tertinggi UMNO yang dilihat masih berdiam diri berkenaan isu ini,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment