PUTRAJAYA 24 Dis. – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menganggarkan penduduk bukan warganegara di Malaysia berjumlah 3.38 juta pada 2025, dengan kadar pertumbuhan tahunan menurun kepada -0.5 peratus berbanding 2024.
Berdasarkan Statistik Migrasi Antarabangsa, Malaysia, 2025 dikeluarkan DOSM hari ini, komposisi penduduk bukan warganegara turut menunjukkan penurunan daripada 10.0 peratus pada 2024 kepada 9.9 peratus pada 2025.
Menurut kenyataan DOSM hari ini, secara keseluruhan, 33 daerah pentadbiran mencatatkan komposisi penduduk bukan warganegara melebihi paras nasional (9.9 peratus) pada 2025.
Sabah mencatatkan peratusan paling tinggi iaitu seramai 1.04 juta penduduk asing,
Selangor di tempat kedua dengan jumlah seramai 730,000 diikuti Johor dengan 390,000; Kuala Lumpur 270,00 dan Pulau Pinang 180,000.
Ketua Perangkawan, Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan lelaki melebihi perempuan, masing-masing 2.35 juta dan 1.03 juta, menjadikan nisbah jantina sebanyak 228 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Beliau berkata, nisbah jantina yang tinggi ini dipengaruhi oleh bilangan pekerja asing lelaki yang tinggi di Malaysia.
“Umur penengah penduduk bukan warganegara pada tahun ini ialah 29.2 tahun, meningkat sebanyak 0.2 tahun daripada 29.0 tahun pada 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Data tersebut turut menunjukkan komposisi penduduk bukan warganegara berusia 15-64 tahun (umur bekerja) menurun kepada 79.8 peratus (2025) daripada 79.9 peratus pada tahun lalu.
Sementara itu, peratusan penduduk bukan warganegara berusia 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat kepada 4.7 peratus daripada 4.6 peratus bagi tempoh yang sama manakala komposisi penduduk asing berusia 0-14 tahun (umur muda) pada 2025 kekal tidak berubah berbanding 2024 dengan 15.5 peratus.
Dari aspek guna tenaga, bilangan bukan warganegara bekerja meningkat kepada 2,360.6 ribu pada 2024 berbanding 2,004.0 ribu pada 2023.
Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) bukan warganegara juga menunjukkan peningkatan daripada 87.2 peratus pada 2023 kepada 88.9 peratus pada 2024, menunjukkan tujuan utama kemasukan penduduk asing ke Malaysia adalah bagi pekerjaan.
Menurut Mohd Uzir, DOSM buat julung kalinya mengeluarkan penerbitan Statistik Migrasi Antarabangsa, Malaysia, 2025 selaras dengan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Recommendations on Statistics of International Migration and Temporary Mobility 2025 yang mengesyorkan setiap negara ahli menyediakan statistik berkaitan stok serta aliran migrasi antarabangsa secara bersepadu dan berterusan.
Katanya, penerbitan ini menjadi asas kepada pembangunan sistem data migrasi antarabangsa yang lebih tersusun dan konsisten selaras dengan standard antarabangsa.
Statistik ini merupakan input penting bagi penggubalan polisi dan perancangan program berkaitan migrasi antarabangsa serta sumber rujukan kepada penyelidik dan akademik.
Migrasi antarabangsa memainkan peranan penting dalam pembentukan struktur kependudukan negara dengan implikasi langsung terhadap pasaran buruh, penyediaan perkhidmatan sosial dan perancangan pembangunan sosioekonomi.
Beliau berkata, bagi permulaan penyediaan statistik migrasi antarabangsa Malaysia, tumpuan adalah terhadap statistik stok migran iaitu penyediaan statistik komprehensif bagi stok penduduk bukan warganegara di Malaysia dan stok warga Malaysia di luar negara.
“Penyediaan statistik stok ini akan terus dipertingkatkan melalui liputan data yang lebih luas serta penambahbaikan metodologi bagi memastikan ketepatan, kebolehpercayaan dan keseragaman data.
“DOSM akan terus memantapkan koordinasi dengan agensi berkaitan untuk menyokong penyediaan statistik migrasi antarabangsa yang lebih tepat, menyeluruh dan bermanfaat bagi dasar serta perancangan negara,” katanya.
Nnnn
