PUTRAJAYA 16 Dis. – Seorang Ahli Dewan Negara dan tujuh Ahli Parlimen adalah muka baharu yang dilantik sebagai timbalan menteri dalam rombakan Kabinet Madani yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di sini petang ini.
Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari pula dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan menggantikan, Hannah Yeoh Tseow Suan yang bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Senator Marhamah Rosli, penceramah agama, dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu selepas penyandang jawatan itu dinaikkan pangkat sebagai Menteri.
Beliau sebelum itu mengangkat sumpah sebagai Senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Turut dilantik, Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah dilantik sebagai Timbalan Menteri Ekonomi; dan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRESS).
Selain Hannah Yeoh, turut bertukar portfolio adalah Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Steven Sim ke Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani bertukar ke Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)
Sementara itu, Timbalan Menteri yang bertukar portfolio adalah Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong sebagai Timbalan Menteri Kewangan; Timbalan KESUMA, Abdul Rahman Mohamad sebagai Timbalan Menteri Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (PETRA).
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Chan Foong Hin sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Timbalan Menteri KBS, Adam Adli Abd Halim pula sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Timbalan Menteri Ekonomi, Hanifah Hajar Taib menggantikan tempat Lukanisman di Kementerian Kesihatan, Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin sebagai Timbalan Menteri KUSKOP, Timbalan Menteri NRESS, Huang Tiong Sii sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan pula bertukar ke KESUMA.
NNNN.
