PUTRAJAYA 16 Dis. – Enam timbalan menteri dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh manakala seorang muka baharu dilantik dalam penstrukturan semula Kabinet bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran Kerajaan Madani.
Selain kenaikan pangkat, penstrukturan itu turut menyaksikan dua menteri di Jabatan Perdana Menteri digugurkan di samping Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy serta perubahan portfolio beberapa menteri dan timbalan menteri.
Dua Menteri digugurkan adalah Dr Zaliha Mustafa (Wilayah Persekutuan) dan Nai’m Mokhtar (Hal Ehwal Agama) manakala Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Muhammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan penstrukturan semula itu pada satu sidang media di mana beliau hanya mengumumkan menteri-menteri yang ditukarkan portfolio dan pelantikan baharu.
Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dinaikkan pangkat menjadi Menteri (Hal Ehwal Agama) manakala Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pula bertukar ke JPM (Wilayah Persekutuan).
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula dilantik sebagai Menteri Ekonomi bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Rafizi Ramli.
Pengerusi PKR Sabah Mustafa Sakmud yang sebelum ini Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, mengambil tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).
Turut dinaikkan pangkat, Ketua Wanita UMNO yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Noraini Ahmad, sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, menggantikan Johari Abdul Ghani, yang ditukar portfolio sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Presiden PBRS yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Arthur Joseph Kurup dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad yang meletak jawatan berkuat kuasa 4 Julai selepas tewas pemilihan Naib Presiden PKR.
Sementara Naib Presiden PKR R. Ramanan yang sebelum ini sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia yang baharu menggantikan Steven Sim yang bertukar portfolio.
Steven Sim dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menggantikan Presiden UPKO Ewon Benedick yang meletak jawatan sebelum Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah bulan lalu.
Selain kekosongan yang ditinggalkan Rafizi, Nik Nazmi dan Ewon yang meletak jawatan, turut kosong apabila Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri sebelum ini Tengku Zafrul Tengku Aziz tamat tempoh sebagai Ahli Dewan Negara.
Nnnnn
