SEPANG 29 Julai – Sempena Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan perkhidmatan tambahan bagi KTM Komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bermula 31 Julai hingga 2 Ogos ini.
Inisiatif itu bagi menampung peningkatan jumlah penumpang, khususnya pengundi yang ingin pulang ke Negeri Sembilan untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian 1 Ogos ini.
Menerusi kenyataannya, KTMB memaklumkan, sebanyak 18 perjalanan tambahan KTM Komuter disediakan mengikut jadual hari bekerja pada Jumaat ini, manakala 18 lagi perjalanan mengikut jadual hari minggu bagi tempoh Sabtu dan Ahad.
Perkhidmatan tambahan komuter itu membabitkan 10 perjalanan bagi laluan Batu Caves-Pulau Sebang-Batu Caves dan lapan perjalanan bagi laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang-Tanjung Malim.
Sepanjang tiga hari berkenaan, KTMB menyediakan kapasiti keseluruhan sebanyak 233,600 penumpang, merangkumi 190,400 penumpang menerusi perkhidmatan berjadual sedia ada dan 43,200 penumpang bagi perkhidmatan tren tambahan.
Bagi perkhidmatan ETS pula, KTMB akan menyediakan 30 perjalanan tambahan membabitkan laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral (12 perjalanan), JB Sentral-Seremban-JB Sentral (12 perjalanan) dan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral (enam perjalanan) dengan menawarkan keseluruhan 9,480 tempat duduk.
Bagi memastikan kelancaran tren dalam tempoh itu, kerja-kerja di bawah Projek Menaik Taraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) di laluan terbabit akan dihentikan sementara.
Bagi pengguna KTM Komuter laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang, mereka dinasihatkan membuat pertukaran tren di Stesen KL Sentral untuk meneruskan perjalanan ke Stesen Seremban dan Stesen Pulau Sebang.
Untuk maklumat jadual, pengguna boleh menyemak jadual waktu terkini melalui saluran rasmi KTMB.
Nnnn
