Etika pakaian bukan isu partisan

SEPANG 13 Dis.  –  Tindakan kerajaan untuk menilai semula pekeliling berkenaan etika pemakaian di premis kerajaan selepas desakan satu pihak politik menunjukkan kelemahan komitmen terhadap nilai kesopanan yang sekian lama menjadi norma negara.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata etika berpakaian bukan isu partisan, sebaliknya asas pendidikan sosial yang membentuk disiplin rakyat tanpa pengecualian yang tidak seharusnya dilonggarkan, tetapi wajar dipertahankan.

“Tindakan anggota polis tidak membenarkan seorang wanita memasuki pekarangan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Melaka harus dipuji dan dipertahankan, kerana ia langkah mendidik masyarakat agar menghormati ruang rasmi kerajaan.

“Hal ini kerana tindakan itu selaras dengan surat pekeliling yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) berkaitan penambahbaikan pengurusan perhubungan pelanggan sektor awam bertarikh 1 Disember 2020,” katanya menerusi  kenyataan di Facebook.

Sebelum ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata mesyuarat menteri bersetuju pengecualian wajar diberikan kepada perkhidmatan barisan hadapan seperti kesihatan dan keselamatan, termasuk balai polis daripada pekeliling bertarikh 1 Disember 2020.

Beliau berkata pekeliling itu akan diteliti semula dengan cadangan penambahbaikan akan diteliti oleh KSN dan kenyataan serta pekeliling baharu akan dikeluarkan dalam masa tidak terlalu lama.

Tuan Ibrahim berkata, beliau yakin tindakan anggota polis dalam kes di Melaka itu adalah berdasarkan kepada penilaian ketika itu, bahawa urusan itu bukan dalam keadaan kecemasan dan memerlukan kepada tindakan segera.

“Bagi keadaan kecemasan, tentu pertimbangan dan tindakan berbeza akan diambil,” katanya sambil menegaskan , kerajaan tidak boleh tunduk kepada desakan pihak yang cuba mengikis nilai ketimuran dan norma masyarakat Malaysia.

Katanya kerajaan perlu memperkukuh garis panduan etika berpakaian dengan memberi penerangan jelas kepada rakyat, memastikan pelaksanaan yang adil di semua agensi dan menggalakkan budaya sopan sebagai ciri Malaysia Madani yang sebenar.

“Malaysia hanya akan kekal harmoni apabila nilai diwarisi terus dihormati, bukan dikompromi demi tekanan politik,” katanya.

Beliau berkata, Pas menyokong semua pihak yang mempertahankan etika berpakaian sopan di sektor awam, selaras falsafah dan identiti masyarakat Malaysia yang berasaskan prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

“Pas percaya Rukun Negara digubal bagi memelihara nilai ketimuran, adab dan susila yang menjadi tonggak peradaban Malaysia,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment