UEC tidak boleh diiktiraf atas tekanan politik

PUTRAJAYA 13 Dis. – Sebarang cadangan berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak boleh diputuskan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan sempit mana-mana pihak.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebaliknya berkata, ia mesti berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Justeru pendirian Kerajaan Madani kekal tegas bahawa kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu merupakan prinsip asas negara yang tidak boleh dikompromi dan terkecuali kepada semua aliran pendidikan.

Katanya, selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semua aliran pendidikan termasuk Cina, Tamil, Arab, Inggeris dan sekolah antarabangsa wajib memastikan penguasaan kukuh terhadap Bahasa Melayu sesuai dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi nasional dalam pembentukan jati diri serta perpaduan negara.

“Di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kami akan terus memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara yang inklusif, progresif dan berdaya saing.

Penekanan akan diteruskan kepada penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa teras, bahasa teknologi dan bahasa ilmu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Zambry, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan akan digerakkan seiring pemerkasaan Bahasa Inggeris serta bahasa lain termasuk Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa-bahasa suku dengan matlamat melahirkan bakat nasional berkeupayaan multilingualisme, seimbang serta berakar pada nilai kenegaraan.

“Kita mahu memastikan graduan negara bukan sahaja fasih berbahasa, tetapi mampu memenuhi tuntutan dan cabaran global tanpa mengabaikan identiti kebangsaan,” katanya.

Nnm.

Related posts

Leave a Comment