SITUASI terkini pandemik Covid-19 di seluruh dunia dalam keadaan tidak menentu di mana ada sesetengah negara berjaya mengawal wabak itu daripada terus merebak manakala ada negara yang masih bergelut memeranginya.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata di seluruh dunia kita sedang melihat peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan terutamanya di Eropah dan Amerika.
“Setiap hari terutama empat hari terakhir ini menunjukkan angka tertinggi dilaporkan. Banyak bandar dan negara juga melaporkan peningkatan kemasukan ke hospital dan katil untuk rawatan intensif,” katanya..
Beliau berkata rakyat perlu diingatkan situasi ini adalah tidak menentu di mana setiap negara memberi tindak balas yang berbeza..
“Hampir 70 peratus daripada semua kes yang dilaporkan di seluruh dunia minggu lalu adalah dari 10 negara, dan hampir separuh dari semua kes hanya dari tiga negara,” tambahnya lagi.
Sehingga 13 Oktober jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia mengikut Johns Hopkins University melepasi 37.8 juta, sementara jumlah kematian melebihi 1.08 juta.
Amerika Syarikat kekal sebagai negara yang paling teruk dilanda pandemik itu dengan jumlah kes dan kematian tertinggi, diikuti India dan Brazil.