Thailand bubar Parlimen

BANGKOK – Selepas tiga bulan memegang jawatan,  Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul membubarkan Parlimen hari ini, bagi membuka jalan untuk mengadakan pilihan raya umum.

Langkah itu diambil lebih awal daripada yang dijangkakan ketika negara berdepan konflik yang tercetus semula di sempadan Thailand-Kemboja yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang dan sekitar 600,000 kehilangan tempat tinggal.

“Dewan Perwakilan dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya umum baharu untuk ahli Dewan,” kata Titah Diraja Thai yang diterbitkan dalam Warta Diraja.

Pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 45 hingga 60 hari.

Anutin, dari parti konservatif Bhumjaithai, menjadi perdana menteri pada bulan September selepas pendahulunya disingkirkan daripada jawatan oleh mahkamah atas pelanggaran etika.

Awal tahun ini, beliau berikrar untuk membubarkan dewan rakyat – langkah rasmi untuk mengadakan pilihan raya – dan mengadakan undian menjelang awal 2026.

Anutin dijangka menunggu sehingga selepas Krismas untuk membubarkan parlimen.

“Memandangkan pentadbiran ini kerajaan minoriti dan keadaan politik domestik dipenuhi dengan pelbagai cabaran, kerajaan tidak boleh terus mentadbir hal ehwal negara secara berterusan, cekap dan stabil,” kata Warta Diraja, memetik laporan yang diterima daripada Anutin.

Oleh itu, penyelesaian yang sesuai adalah membubarkan Dewan Perwakilan dan mengadakan pilihan raya umum yang baharu.

Dalam pada itu, Anutin menegaskan keputusannya membubarkan Parlimen tidak akan menjejaskan pengurusan konflik yang sedang berlaku di sempadan negara itu dengan Kemboja.

Negara itu kini turut berdepan pelbagai cabaran, termasuk ketidaktentuan ekonomi, tekanan sosial dan politik, perubahan dinamik geopolitik.

Suruhanjaya Pilihan Raya Thai dijangka menetapkan tarikh pengundian dalam tempoh tidak kurang 45 hari dan tidak melebihi 60 hari selepas dekri itu dikuat kuasa.

Semalam, Anutin memuat naik kenyataan dalam bahasa Thai di Facebook, menyatakan: “Saya mengembalikan kuasa kepada rakyat.”

Beliau sebelum ini berkata bahawa beliau merancang membubarkan Parlimen menjelang akhir Januari, dengan pilihan raya umum berkemungkinan diadakan pada Mac atau awal April.

Pilihan raya umum akan menyaksikan semua 500 kerusi di Dewan Perwakilan dipertandingkan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment