PBB kecam serangan ke atas hospital

HAMILTON – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam serangan ke atas sebuah hospital di Rakhine, Myanmar, yang mengorbankan lebih 30 orang awam,  mencederakan lebih 70 termasuk pesakit, penjaga dan petugas perubatan.

Jurucakap PBB Farhan Haq pada sidang media berkata, PBB amat bimbang dengan laporan mengenai serangan udara di Negeri Rakhine semalam.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan ini adalah serangan ke-67 ke atas sektor kesihatan di Myanmar tahun ini sedangkan kemudahan perubatan dan orang awam, termasuk petugas perubatan mesti dihormati dan dilindungi.

“PBB mengecam serangan ini, yang merupakan sebahagian daripada pola serangan lebih luas yang mencederakan orang awam serta merosakkan infrastruktur, seterusnya memusnahkan komuniti di seluruh negara,” katanya.

Beliau menggesa semua pihak mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Haq berkata Pelan Keperluan dan Tindak Balas Kemanusiaan 2026 yang dikeluarkan semalam memerlukan AS$890 juta (RM3.64 bilion) dan memberi amaran bahawa 16.2 juta orang, termasuk 5 juta kanak-kanak memerlukan bantuan serta perlindungan tahun depan.

“Konflik dan bencana telah menyebabkan kira-kira 3.6 juta orang hilang tempat tinggal, dengan ramai daripadanya terpaksa melarikan diri berulang kali,” katanya.

Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh dan 76 lagi cedera dalam serangan di hospital di Mrauk-U, sebuah bandar berhampiran sempadan Bangladesh.

Related posts

Leave a Comment