“Jika sayang Bersatu, lepaskanlah parti ini”

IPOH 10 Dis. – Desakan supaya Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan Presiden Bersatu berterusan apabila 14 bahagian Bersatu Perak membuat gesaan yang sama dengan mengambil kira kebimbangan survival parti mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Sebelum ini, 20 daripada 24 Ketua Bahagian Bersatu Sabah menuntut Muhyiddin meletakkan jawatan susulan keputusan buruk pada PRN yang menyaksikan mereka tewas di semua 36 kerusi yang ditandingi.

Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak, Zainol Fadzi Paharudin, berkata Muhyiddin perlu berbesar hati dan mengambil tanggungjawab atas segala yang berlaku di dalam parti itu dengan bermuhasabah diri dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

Bekas Setiausaha Bersatu Perak itu pada sidang media di sini, hari ini berkata, keengganan Muhyiddin melepaskan kedudukannya dikhuatiri menyebabkan parti itu akan ditolak di semua kawasan ditandingi pada PRU16.

Katanya, dalam usia 78 tahun dan sedang berdepan tuduhan mahkamah yang masih belum selesai, perihal peribadi Muhyiddin akan menjadi liabiliti kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhannya.

Menurutnya, walaupun baru berusia sembilan tahun, Bersatu perlu diperbaharui dan diremajakan semula dengan menjalani proses re-juvenasi dalam memberikan nafas baru agar terus utuh dan memastikan Perikatan Nasional diterima semua rakyat Malaysia.

Justeru beliau berharap Tan Sri Muhyiddin mendengar rintihan dan keluhan mereka di bahagian, apatah lagi baru-baru ini kecoh dalam Dewan Rakyat hal anak menantu Presiden yang hilang, dijaja serata Dewan sehingga menjadi bahan sindiran di dalam dan luar Dewan.

“Apa yang kami mahu pertahankan?. Bagaimana kami perlu pertahankan? Tan Sri adalah Presiden Bersatu dan ini memberikan kesan dan imej yang tidak baik buat parti dan PN selaku parti Melayu yang dominan buat masa ini.

“YB Tan Sri Presiden boleh menjadi cerminan pemimpin yang berjiwa besar dengan mengundurkan diri secara terhormat. Kami tidak mahu melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Najib Razak versi Bersatu.

“Tatkala seluruh negara tahu Najib Razak menjadi liabiliti, dia memilih untuk berdegil dan meletakkan kepercayaan kepada orang yang salah. Akhirnya, akibat masalah peribadi yang dibawa, parti kalah dan ditolak rakyat pada siri pilihan raya lalu.

Kami yakin bahawa Tan Sri Presiden sayangkan parti Bersatu ini. Jika sayang, maka lepaskanlah parti ini untuk diwarisi oleh generasi seterusnya, agar kami semua dapat
bersatu padu memperjuangkan kejayaan bagi Bersatu dan meneruskan kelestarian dan perjuangan Tan Sri sebagai Presiden Pengasas,” katanya.

Zainol mengetuai sidang media itu yang dihadiri Jawatankuasa Bahagian dari 14 bahagian Bersatu Perak termasuk Ketua Bersatu dari 10 bahagian di Perak.

Bahagian itu merangkumi Tanjung Malim, Pasir Salak, Teluk Intan, Tapah, Kampar, Gopeng, Parit, Beruas, Ipoh Timor, Padang Rengas, Bukit Gantang, Bagan Serai, Larut, dan Gerik.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment