KUALA LUMPUR 4 Dis. – Grab Malaysia melancarkan GrabAssist, perkhidmatan khusus bagi menyokong keperluan mobiliti orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pengguna alat bantuan mobiliti peribadi.
Beroperasi di Lembah Klang, GrabAssist memberi pilihan pengangkutan lebih mudah diakses terutama untuk perjalanan antara rumah, pusat jagaan atau hospital.
Perkhidmatan itu dilancarkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri pada pembukaan Persidangan ASEAN Disability Forum 2025 sempena sambutan Hari OKU Sedunia.
Pengarah Operasi Negara & Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor, berkata inisiatif itu direka sebagai penyelesaian mobiliti bagi segmen yang kurang diberi perkhidmatan.
“GrabAssist memastikan penumpang yang memerlukan sokongan tambahan dapat melakukan perjalanan lebih yakin dan selesa, dibantu pemandu dilatih untuk memberikan bantuan yang tepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Grab turut memaklumkan inisiatif itu sebahagian usaha memperkasa penyertaan ekonomi inklusif, membabitkan lebih 3,000 pemandu dan penghantar OKU di Malaysia sejak 2018.
Sempena pelancaran itu, Grab menawarkan potongan RM14 bagi setiap perjalanan GrabAssist dari 3 hingga 17 Disember ini.
Rashid berkata, hampir 100 pemandu menerima latihan daripada penyedia perkhidmatan penjagaan bertauliah, merangkumi kemahiran mengendalikan kerusi roda dan alat bantu jalan, selain diberikan kit GrabAssist termasuk kad selak (flip card) untuk komunikasi dalam kenderaan.
Katanya, perkhidmatan itu dibangunkan melalui kerjasama Grab dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dan Persatuan Pemandu e-Hailing OKU Fizikal Malaysia (PPEOFM).
“Pelanggan perlu memilih perkhidmatan GrabAssist melalui ciri Advance Booking di aplikasi Grab dan maklumat lanjut mengenai GrabAssist boleh diperoleh melalui www.grab.com/my/grabassist,” katanya.
Nnnn
