PUTRAJAYA 3 Dis. – Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkuat kuasa hari ini bagi tempoh dua tahun.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, pelantikan itu dipersetujui oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Menurut kenyataan itu, selain mengetuai MIDA, Zafrul juga akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang kini sedang diperincikan.
“Tanggungjawab tambahan itu akan diumumkan kemudian oleh Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu.
Tengku Zafrul mengakhiri tugasnya sebagai Menteri MITI berkuat kuasa 2 Disember 2025 selepas tempoh dua penggal sebagai anggota Dewan Negara berakhir.
Sebelum menyertai Kabinet, beliau berkhidmat lebih 22 tahun dalam industri perbankan dan perkhidmatan kewangan, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd, serta Presiden Pesuruhjaya PT Bank CIMB Niaga di Indonesia.
Tengku Zafrul dilantik ke jawatan menteri dalam kapasiti sebagai seorang senator.
Beliau memulakan penggal kedua sebagai anggota Dewan Negara pada Disember 2022, yang merupakan jumlah maksimum penggal yang dibenarkan.
