MAHA 2026 sasar 4 juta pengunjung

SERDANG 3 Dis. – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan diadakan pada 28 Ogos hingga 6 September 2026 bakal disertai oleh 2,000 pempamer termasuk dari luar negara dengan sasaran empat juta pengunjung.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, di samping itu MAHA menjangkakan nilai pemeteraian memorandum persefahaman dan memorandum perjanjian sebanyak RM8 bilion dan transaksi jualan RM58 juta.

Katanya, penganjuran MAHA di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) itu, bakal mengangkat tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’ yang menampilkan visi Malaysia untuk membangunkan ekosistem agromakanan yang berdaya tahan, berasaskan teknologi dan berimpak tinggi.

“MAHA 2026 akan menghimpunkan petani, usahawan, pelabur dan penginovasi dalam misi pengembangan perniagaan dan transformasi industri pertanian negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis pra pelancaran MAHA 2026 di sini.

Katanya, pengunjung pula boleh menikmati pelbagai tarikan termasuk pameran bunga, pameran agrotek, fiesta makanan, pertandingan agro, persembahan laser, persembahan air, sukan rakyat, rewang warisan, Rhythm of the Farmers (ROTF), sesi santai kopi, agropreneur muda, kiddies wonderland, agro safari, taman burung dan banyak lagi.

Justeru, pengalaman ini bukan sahaja memberi pengetahuan dan pendedahan baharu kepada para pengunjung namun turut menyemarakkan minat serta membina kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda untuk menceburi bidang pertanian.

Menurut Mohamad, majlis pra pelancaran itu menjadi platform untuk membina kesedaran awal, menggalakkan penyertaan dan memperkukuh komitmen rakan strategik, agensi kerajaan, pemain industri serta media ke arah penganjuran MAHA 2026 yang lebih berimpak tinggi dan berdaya saing.

Tegasnya MAHA 2026 memfokuskan penciptaan hasil tanaman yang berpotensi meningkatkan nilai.

“Kita hendak tunjukkan usaha-usaha yang mana kita mencipta nilai, jadi rakyat boleh melihat pekerjaan-pekerjaan pertanian bukannya satu pekerjaan yang orang kata pilihan terakhir.

Tetapi ia satu pekerjaan yang boleh memberi pendapatan yang lebih baik bukan saja tanaman-tanaman asas tani tetapi juga boleh mencipta nilai,” tambah beliau.

“Penyertaan dalam MAHA 2026 bukan sahaja membolehkan perniagaan memperkukuh jaringan pelanggan sedia ada dan membina hubungan antarabangsa yang strategik, malah memberi peluang menjadi antara yang terawal mengetahui trend  pasaran terkini serta meningkatkan daya saing dalam industri agro,” katanya.

MAHA 2026 turut membuka peluang untuk memperkenalkan teknologi pertanian terkini, produk serta perkhidmatan agromakanan kepada pasaran yang lebih luas dan bakal menjadi platform unggul untuk mengembangkan perniagaan dalam sektor pertanian dan agroindustri.

“Usahawan dan pelabur turut berpeluang meneroka dagangan, pelaburan, kolaborasi dan perkongsian teknologi, membangunkan pasaran import serta eksport, serta melancarkan produk dan perkhidmatan inovatif sekali gus membuka ruang bagi pertumbuhan kerjaya dan keusahawanan dalam sektor agro,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment